Juwaidi akur sengit buru tiket Olimpik

Juwaidi akur sengit buru tiket Olimpik

Mohd. Juwaidi Mazuki (kanan) dan Fatin Nurfatehah merupakan gandingan serasi dalam acara compound yang akan memburu tiket ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Impian jaguh pemanah compound negara, Mohd. Juwaidi Mazuki beraksi di Sukan Olimpik Los Angeles (LA) 2028 kini diuji dengan cabaran getir apabila hanya 12 pasukan dari seluruh dunia bakal diberi tiket ke temasya itu.

Cabaran itu menjadi lebih sengit kerana acara compound membuat penampilan sulung di Olimpik menerusi format berpasukan campuran, sekali gus membuka peluang yang amat terhad kepada setiap negara.

Momentum positif hadir selepas Juwaidi membantu Malaysia meraih emas acara berpasukan pada Sukan SEA Thailand 2025, namun sekadar pingat perak dalam acara individu selepas tewas tipis 145-147 kepada wakil tuan rumah.

“Untuk Olimpik, acara compound hanya ada campuran sahaja, jadi seorang lelaki dan seorang perempuan akan dipilih, dan cuma 12 pasukan dari seluruh dunia yang layak.

“Memang sangat mencabar, tapi selagi compound sudah berada di Olimpik, saya tidak pernah padamkan impian untuk layak dan akan terus fokus latihan,” kata Juwaidi.

Acara berpasukan campuran di LA 2028 membabitkan 12 pasukan, dengan setiap negara menurunkan seorang pemanah lelaki dan wanita, menepati kuota 24 atlet keseluruhan.

Juwaidi yang kini berada di ranking ke-15 dunia bersama gandingannya, Fatin Nurfatehah Mat Salleh, dilihat sebagai sandaran utama negara untuk merealisasikan tiket Olimpik dalam sejarah baharu compound.

Beliau mengakui perancangan musim kejohanan indoor dan komitmen latihan perlu disusun semula kerana pertindihan jadual, namun fokus utama tetap kepada persiapan jangka panjang menuju LA 2028.

“Kami tahu hanya satu pasukan sahaja boleh layak dan persaingannya sangat sengit kerana hanya 12 pasukan dari seluruh dunia akan dipilih.

“Tapi selagi compound sudah berada di Olimpik, saya tidak pernah memadam impian untuk layak dan akan terus fokus latihan tanpa terlalu memikirkan soal pemilihan,” katanya.

Sebelum ini, Juwaidi memilih untuk tidak berada dalam program Majlis Sukan Negara (MSN) susulan komitmen keluarga dan berlatih secara kendiri, namun bersetuju menandatangani semula kontrak MSN selepas IOC mengumumkan kemasukan acara compound ke Olimpik buat julung kalinya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN