Aiman berisiko tamatkan karier awal

Aiman berisiko tamatkan karier awal

(DUA dari kiri) Mohd. Juwaidi Mazuki, Alang Ariff Aqil Muhammad Ghazalli dan Muhammad Aiman Syafiq Mohd Tariki menewaskan Thailand dalam acara akhir berpasukan pada Sukan SEA Thailand 2025 di Bangkok, semalam. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Pemanah junior negara, Muhammad Aiman Syafiq Tariki berisiko menamatkan karier lebih awal selepas berdepan masalah pelepasan dan kontrak daripada pusat pengajiannya di Institut Pendidikan Guru (IPG).

Perkara itu didedahkan pemanah senior negara, Mohd Juwaidi Mazuki selepas gandingannya bersama Aiman dan Alang Ariff Aqi Muhammad Ghazalli meraih emas compound di Sukan SEA Thailand 2025, semalam.

Juwadi berkata, Aiman yang memainkan peranan besar dalam aksi final menewaskan tuan rumah, Thailand 232-229 berdepan kesukaran mendapat pelepasan daripada IPG untuk menjalani latihan sebagai persiapan Sukan SEA Thailand 2025.

Menurut Juwaidi, Aiman adalah pemanah luar biasa dan bakatnya tidak wajar disia-siakan, sekali gus merayu agar pihak berkaitan dapat campur tangan bagi memastikan atlet berusia 19 tahun itu dapat meneruskan kariernya bersama skuad kebangsaan.

“Kalau ada mana-mana pihak yang boleh bantu dia (Aiman) untuk terus kekal dalam pasukan kebangsaan, tolonglah bantu dia, sebab dia ada potensi tinggi.

“Prestasinya bagi saya untuk seorang junior sangat luar biasa, terus melonjak ke tahap standard yang kita mahukan dan lebih manis dia membantu skuad negara meraih emas di Bangkok. Sebelum ini, kita akur sekadar pingat perak di Hanoi dan jelmakan emas semula di sini,” katanya.

Jelas pemanah senior itu, beliau difahamkan ini mungkin tahun terakhir Aiman bersama skuad negara ekoran sistem IPG yang menyukarkan proses pelepasan untuk latihan dan kejohanan.

“Saya terkejut perkara sebegini masih berlaku dalam sukan Malaysia. Saya tak pernah terlibat dengan sistem IPG, tapi sekarang saya tahu bukan mudah untuk dapatkan pelepasan berbanding universiti lain,” jelasnya.

Sementara itu, Aiman yang membuat penampilan sulung di Sukan SEA berharap agar jalan penyelesaian dapat dicapai demi masa depannya dalam sukan memanah.

“Saya harap IPG dapat memberi kerjasama dengan pihak MSN (Majlis Sukan Negara) untuk saya teruskan perjuangan saya,” kata penuntut tahun pertama jurusan Pendidikan Jasmani itu.

Mengulas mengenai kejayaan sulungnya, Aiman mengakui terharu dan mendedikasikan kemenangan itu buat keluarga serta rakan sepasukan senior yang banyak memberinya sokongan.

Dalam pada itu, Juwaidi yang beraksi dalam Sukan SEA keenamnya, turut menggesa lebih ramai bakat muda untuk tampil merapatkan jurang dengan barisan senior bagi memastikan kesinambungan kejayaan negara.

“Saya tak tahu berapa lama lagi saya akan bertahan. Kita perlukan lebih ramai pelapis muda dengan potensi besar seperti Aiman untuk meneruskan legasi,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN