PETALING JAYA: Pelakon, Ben Amir, secara rasmi membuka kafe miliknya bernama ‘Rasa’, di Pulau Siargao, Filipina.
Berita gembira itu dikongsikan pelakon drama Sweet Dreams itu menerusi hantaran di Instagram sempena majlis pembukaan premis berkenaan, baru-baru ini.
Menurut Ben atau Muhammad Amir Sabaruddin, 34, pembukaan kafe tersebut menjadi simbolik kepada satu perjalanan baharu dalam hidupnya, lebih-lebih lagi apabila ia direalisasikan dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan.
“Terima kasih kepada semua rakan yang hadir, menunjukkan kasih sayang dan menyokong kami sejak hari pertama. Ia amat bermakna buat saya.
“Memulakan perjalanan baharu ini sambil menyambut bulan Ramadan yang penuh berkat. Semoga tempat ini membawakan makanan yang enak, insan-insan yang baik dan memori yang indah buat semua,” katanya menerusi perkongsian di Instagram.
Terdahulu, Ben memaklumkan, tujuan utama pembukaan ‘Rasa’ adalah untuk memperkenalkan identiti dan cita rasa masakan Malaysia kepada penduduk tempatan serta pelancong yang berkunjung ke pulau peranginan terkenal itu.
Antara tarikan utama kafe berkenaan ialah hidangan ikonik tanah air seperti nasi lemak dan sambal ikan.
Lebih membanggakan, ‘Rasa’ menjadi kafe pertama di pulau tersebut yang menawarkan masakan asli Malaysia dan sajian halal, sekali gus membuka ruang kepada masyarakat Muslim menikmati sajian tempatan tanpa waswas.
Bagi memastikan kualiti serta keaslian rasa, Ben turut mengambil inisiatif menanam sendiri pelbagai tumbuhan dan herba di sekitar kawasan kafe berkenaan.
Antara tanaman yang diusahakannya termasuk nanas, mangga, serai, kunyit dan daun pandan yang digunakan sebagai bahan mentah dalam penyediaan hidangan di dapur ‘Rasa’. -UTUSAN










