KUALA NERUS: Sebanyak 45 kertas siasatan dibuka sehingga kini melibatkan penyebaran kandungan palsu dalam media sosial.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, tindakan itu susulan aduan dan pemantauan berterusan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terhadap pelbagai kandungan tidak sahih yang tular.
“MCMC sama ada akan mengarahkan penurunan kandungan atau jika akaun itu bukan palsu, pemiliknya dikenal pasti bersama Polis Diraja Malaysia dan dipanggil untuk dirakam percakapan,” katanya pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi Panel Penasihat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di sini, hari ini.
Menurut Fahmi, kes-kes berkenaan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara sama ada untuk dikompaun atau didakwa di mahkamah.
“Jika dikompaun, pesalah boleh dikenakan sehingga RM250,000 bagi satu kesalahan. Jika didakwa dan sabit kesalahan, boleh didenda sehingga RM500,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Sementara itu, katanya, sebanyak 386 kandungan palsu dikenal pasti melibatkan pelbagai isu semasa.
Katanya, daripada jumlah itu, 118 kandungan berkaitan isu bahan api, 45 berkaitan tarif elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) manakala 147 lagi mengenai dakwaan bayaran tol kepada Iran.
“Selain itu, terdapat 15 kandungan fitnah yang mendakwa Malaysia menjual minyak kepada Filipina dan kesemuanya telah diarahkan untuk diturunkan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya menyebarkan maklumat yang tidak pasti kesahihannya.
“Bagi komuniti, dapatkan penjelasan daripada pengurusan NADI atau komuniti MADANI supaya maklumat tepat dapat disampaikan,” katanya. – UTUSAN










