KUALA TERENGGANU: Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan berjumlah RM1.8 juta bagi membaik pulih infrastruktur dan fasiliti 18 buah sekolah tahfiz dan pondok di Terengganu sepanjang tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif itu bagi memastikan institusi tahfiz, pondok dan pesantren tidak ketinggalan dalam arus perkembangan teknologi semasa termasuk kecerdasan buatan (AI).
“Penguasaan teknologi maklumat termasuk AI= ini penting, jangan kita ketinggalan dan biarkan orang lain terus ke hadapan.
“Selain itu, penguasaan teknologi baharu dalam kalangan pelajar institusi pendidikan agama juga amat penting,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra MADANI bersama pelajar tahfiz negeri di Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu, di sini hari ini.
Menurut Anwar, pelajar tahfiz atau pondok juga perlu menguasai bahasa lain selain bahasa Arab dan Melayu iaitu bahasa Inggeris dan teknologi maklumat.
Sementara itu, beliau berkata, kerajaan meluluskan sebanyak RM60 juta bagi melaksanakan program pembasmian kemiskinan di Terengganu untuk tahun ini. .
Kata Perdana Menteri, ia bagi memberi tumpuan kepada peningkatan pendapatan rakyat dan membaik pulih perumahan, khususnya melibatkan golongan berpendapatan rendah.
Menurutnya, pelaksanaan program itudiselaraskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri bagi memastikan bantuan disampaikan secara berkesan kepada golongan sasar. – UTUSAN










