Azam Baki ada hak untuk saman Bloomberg

Azam Baki ada hak untuk saman Bloomberg

JAIS ABDUL KARIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mempunyai hak selaras prinsip kedaulatan undang-undang untuk melakukan tindakan saman terhadap agensi berita Bloomberg.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, setiap individu termasuk penjawat awam berprofil tinggi mempunyai hak untuk mempertahankan reputasi dan maruah diri sekiranya merasakan diri difitnah atau dilaporkan secara tidak adil.

Menurut beliau, dalam sebuah negara yang menjunjung prinsip rule of law, sebarang pertikaian berhubung fakta dan reputasi wajar ditentukan oleh mahkamah, bukannya dihukum melalui persepsi atau spekulasi awam.

“Jika benar laporan tersebut mengandungi elemen tidak tepat, mengelirukan atau berat sebelah, maka tindakan saman adalah langkah profesional dan bertamadun untuk membolehkan mahkamah menentukan kebenaran.

“Dalam negara hukum, tuduhan tidak boleh dijadikan hukuman tanpa proses perundangan yang adil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, tindakan tersebut merupakan hak peribadi Azam Baki sebagai individu dan tidak seharusnya ditafsirkan sebagai bentuk intimidasi terhadap kebebasan media.

Katanya, penggunaan saluran mahkamah adalah pendekatan yang sah dalam menyelesaikan pertikaian, khususnya apabila melibatkan dakwaan yang boleh menjejaskan reputasi seseorang serta kredibiliti institusi.

“Tuduhan yang tidak berasaskan fakta dan disensasikan berpotensi memberi kesan negatif terhadap keyakinan rakyat serta pelabur antarabangsa terhadap sistem pentadbiran negara.

“MCW menyeru semua pihak supaya menghormati proses perundangan yang sedang berjalan dan tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu perjalanan keadilan.

Semalam, media melaporkan Azam Baki memfailkan saman terhadap Bloomberg L.P. dan Bloomberg (Malaysia) Sdn. Bhd. berhubung artikel berunsur fitnah berkaitan dakwaan pemilikan saham yang diterbitkan pada 10 Februari lalu.

Menerusi writ saman dan pernyataan tuntutan yang diperoleh media, Azam menuntut ganti rugi am RM100 juta selain ganti rugi teruk dan teladan, faedah serta kos, termasuk perintah injunksi bagi menghalang penerbitan lanjut kenyataan didakwa memfitnah serta arahan memadamkan kenyataan itu dalam tempoh tiga hari dari tarikh penghakiman.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN