8.1 juta rakyat tebus SARA

8.1 juta rakyat tebus SARA

AMIR Hamzah Azizan menaiki bot untuk meninjau keadaan sekitar Sungai Betong dan pesisir Pantai Pasir Panjang ketika sesi turun padang di Kampung Angkat Madani Pulau Betong di Balik Pulau, Pulau Pinang hari ini. - UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU: Kira-kira 8.1 juta rakyat telah menebus program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) Untuk Semua dengan jumlah perbelanjaan mencecah hampir RM780 juta, setakat Jumaat lalu.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, penerimaan terhadap SARA untuk semua peringkat rakyat adalah amat baik dan menunjukkan keperluan rakyat terhadap bantuan bersasar yang disediakan kerajaan di Malaysia.

“Saya tengok data sepanjang akhir hari Jumaat hari, penerimaan terhadap SARA adalah amat baik. Sampai akhir hari Jumaat, kira-kira 8.1 juta orang telah menebus SARA dengan perbelanjaan hampir RM780 juta,” katanya selepas sesi turun padang di Kampung Angkat Madani Pulau Betong di sini, hari ini.

Menurut Amir Hamzah, pendekatan yang diambil kerajaan ketika ini ialah dengan memberi peluang kepada semua rakyat untuk menikmati manfaat SARA tanpa mengira latar belakang, khususnya dalam usaha mengurangkan tekanan kos sara hidup semasa.

“Kerajaan juga telah memperluaskan kategori barangan yang boleh dibeli menerusi SARA termasuk barangan sejuk beku, yang dilihat mendapat sambutan positif dalam kalangan penerima,” katanya.

Beliau berkata, terdapat juga individu berkemampuan yang memilih untuk tidak menebus bantuan berkenaan, sekali gus mewujudkan lebihan peruntukan yang boleh disalurkan semula kepada golongan lebih memerlukan.

“Pendekatan kerajaan ialah kita bagi SARA untuk semua. Tapi, untuk mereka yang mungkin dah ada kemampuan sendiri, mereka tak pakai SARA. Macam saya, tahun lalu, saya tak pakai SARA. Tapi, lebihan yang kita ada kerana orang tak pakai, kita pulangkan juga kepada rakyat untuk mereka yang lebih terbeban,” katanya.

Kata Amir Hamzah, lebihan dana tahun lalu iaitu sebanyak RM150 juta telah dipulangkan kepada rakyat melalui program khusus melibatkan golongan rentan termasuk orang kurang upaya (OKU) serta pesakit yang mengalami sakit kronik serta memerlukan peralatan perubatan.

Mengulas mengenai hala tuju bantuan tunai pada masa depan pula, beliau berkata, kerajaan ketika ini memberi fokus kepada reformasi fiskal dan penyasaran subsidi bagi mengurangkan ketirisan.

Sebagai contoh katanya, penyasaran subsidi diesel dan petrol berjaya menghasilkan penjimatan yang kemudiannya diagihkan semula kepada program bantuan rakyat termasuk peningkatan peruntukan bantuan tunai.

Beliau berkata, peruntukan bantuan tunai kini mencecah kira-kira RM15 bilion, berbanding RM6 bilion ketika era Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) dan RM8 bilion semasa Bantuan Keluarga Malaysia.

“Pada masa yang sama, kerajaan turut memperkukuh usaha meningkatkan pendapatan rakyat melalui kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 selain pelarasan gaji penjawat awam sehingga purata 15 peratus dalam tempoh dua tahun,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN