PETALING JAYA: Pemain beregu lelaki profesional negara, Ong Yew Sin berdepan pengalaman menakutkan apabila menjadi sasaran ugutan serius dalam talian susulan kegagalan beliau dan pasangannya, Teo Ee Yi melepasi pusingan pertama Masters Indonesia di Jakarta, kelmarin.
Pendedahan mengejutkan itu dibuat Yew Sin menerusi satu hantaran di Instagram apabila beliau memuat naik tangkap layar mesej berunsur ancaman yang diterimanya sejurus kekalahan 18-21, 15-21 kepada pasangan Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan.
Lebih membimbangkan, mesej berkenaan bukan sekadar cemuhan, sebaliknya mengandungi ugutan fizikal yang serius, termasuk ancaman mencederakan Ee Yi sekiranya pasangan negara itu terus gagal mencatat keputusan memberangsangkan dalam kejohanan antarabangsa.
Antara kandungan mesej tersebut menyatakan desakan agar mereka bersara, selain amaran bahawa tindakan ekstrem akan diambil sekiranya prestasi hambar itu berterusan.
“Kalian patut bersara sahaja. Saya akan melakukan segala yang termampu untuk memaksa kamu bersara.
“Jika kamu terus gagal dan tewas kepada lawan yang sepatutnya bukan masalah, suatu hari nanti saya akan datang dan perkara buruk akan berlaku.
“Saya akan membawa pisau dan menetak tangan Ee Yi supaya kamu terpaksa menukar pasangan atau bersara,” kata kandungan mesej berkenaan.
Ancaman berkenaan turut menyebut niat untuk menyerang Ee Yi dengan senjata tajam sehingga memaksa Yew Sin menukar pasangan atau meninggalkan arena badminton kompetitif.
Insiden itu menambah senarai kes gangguan dan ugutan dalam talian yang melibatkan pemain badminton negara, sekali gus mencetuskan kebimbangan serius terhadap aspek keselamatan serta kesejahteraan mental atlet yang beraksi di pentas dunia.
Ia juga berlaku hanya beberapa hari selepas pemain beregu campuran negara, Toh Ee Wei meluahkan rasa kecewa terhadap kecaman melampau warganet terhadap prestasinya bersama Chen Tang Jie, sehingga ada yang bertindak melampaui batas dengan menyerang ahli keluarganya menggunakan kata-kata kesat.
Fenomena ini menimbulkan persoalan besar mengenai budaya kebencian dalam media sosial serta keperluan perlindungan lebih menyeluruh terhadap atlet yang membawa nama negara di peringkat antarabangsa. – UTUSAN









