14,000 penjawat awam Terengganu terima bantuan khas kewangan Aidilfitri RM500 hari ini

14,000 penjawat awam Terengganu terima bantuan khas kewangan Aidilfitri RM500 hari ini

AHMAD Samsuri Mokhtar (kiri) bergambar bersama para mahasiswa pada Majlis Apresiasi dan Iftar Perdana Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu Kebangsaan (Permata) anjuran Yayasan Terengganu di Duyong Marina Resort, Kuala Terengganu, Terengganu. -UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu menyalurkan pemberian bantuan khas kewangan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri sebanyak RM500 kepada lebih 14,000 penjawat awam negeri, hari ini sebagai tanda penghargaan atas perkhidmatan mereka.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bantuan khas tersebut bagi membantu meringankan beban kakitangan awam membuat persiapan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.

Beliau berkata, pemberian itu adalah penghargaan kerajaan negeri kepada semua penjawat awam yang terus komited melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing.

“Bantuan khas ini sudah disalurkan hari ini dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua penjawat awam negeri dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri,” katanya pada Majlis Apresiasi dan Iftar Perdana Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu Kebangsaan (Permata) anjuran Yayasan Terengganu, di sini, hari ini.

Sementara itu, berhubung pengumuman Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mengadakan rumah terbuka Aidilfitri menggunakan dana awam tahun ini, Ahmad Samsuri berkata, kenyataan Perdana Menteri itu merujuk kepada penggunaan dana awam bagi penganjuran majlis sambutan hari raya.

“Apa yang dimaksudkan oleh Perdana Menteri adalah berkaitan penggunaan dana awam untuk menganjurkan majlis sambutan hari raya. Namun, jika ia diadakan secara potluck, bagi saya tiada halangan.

“Bagaimanapun, saya menyambut baik pandangan Perdana Menteri dan di peringkat negeri juga kita membuat keputusan untuk tidak mengadakan rumah terbuka menteri besar pada tahun ini,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN