PETALING JAYA: Beregu lelaki No. 2 negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun tidak berdepan masalah ke pusingan kedua selepas menyingkirkan Chang Ko Chi-Po Li Wei dari Taiwan pada peringkat 32 terbaik Kejohanan Badminton Indonesia Masters di Jakarta, Indonesia, hari ini.
Pasangan No. 6 dunia itu hanya mengambil masa selama 23 minit untuk membenam Ko Chi-Li Wei yang berada di tangga ke-44 dunia menerusi kemenangan straight set 21-13, 21-6.
Kejayaan tersebut merupakan kejayaan kedua Wei Chong-Kai Wun ke atas Ko Chi-Li Wei selepas kali terakhir kedua-dua beregu bertemu pada Terbuka Taiwan, empat tahun lalu yang berkesudahan pasangan Malaysia menang 21-19, 11-21, 21-12 juga di pusingan awal.
Pada peringkat 16 terbaik, Khamis ini Wei Chong-Kai Wun akan menghitung pertemuan dengan Hariharan Amsakarunan-M. R. Arjun dari India.
Turut mara ke peringkat 16 terbaik ialah beregu wanita, Cheng Su Hui-Tan Zhing Yi yang menewaskan Kathrine Vang-Mette Werge dari Denmark 22-20, 21-13 dalam masa 43 minit.
Kedua-dua beregu belum pernah bertemu di mana-mana kejohanan antarabangsa dan kemenangan yang dicatat gandingan muda negara itu meletakkan mereka mendahului 1-0 ke atas Vang-Werge.
Su Hui-Zhing Yi yang menghuni ranking ke-74 dunia bakal mengharungi ujian getir menentang pasangan No. 16 dunia, Hsu Ya Ching-Sung Yu Hsuan dari Taiwan di pusingan seterusnya, Khamis ini. – UTUSAN










