SERDANG: Kemunculan generasi baharu dengan corak pemikiran dan tingkah laku berbeza antara cabaran paling kompleks yang sedang dihadapi negara ketika ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam), Dr. Zulkifli Hasan berkata, cabaran semasa banyak berkait dengan perubahan gaya hidup masyarakat yang dipacu kemajuan teknologi serta landskap digital yang semakin dominan.
Menurut beliau, kewujudan golongan netizen yang aktif di alam maya menjadikan usaha menyantuni masyarakat lebih rumit kerana kelompok itu sukar didekati dan mudah dipengaruhi sentimen serta emosi.
“Pengaruh pempengaruh media sosial turut membentuk persepsi awam sehingga mencetuskan kebimbangan terhadap kelompok manusia yang semakin kehilangan nilai kemanusiaan dalam interaksi harian,” katanya berucap di Program Konvensyen Dakwah Negara di sini, hari ini.
Katanya, situasi tersebut menuntut usaha bersungguh-sungguh bagi mengembalikan roh nilai, adab dan kemanusiaan agar menjadi teras dalam arus perdana masyarakat.
“Pendekatan strategik dan perincian pelaksanaan amat diperlukan bagi memastikan nilai kemanusiaan dapat diterjemahkan secara praktikal dan berkesan dalam mendepani cabaran generasi baharu,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Dr. Adi Anuar Azmin berkata, kerjasama rakan strategik dalam menganjurkan program tersebut bertujuan memperkukuh pendekatan dakwah yang lebih praktikal dan berimpak.
Menurutnya, penganjuran program berkenaan menjadi platform perbincangan solusi dakwah yang lebih berfokus, khususnya dalam usaha mengaktualisasikan nilai Malaysia Madani dalam masyarakat.
“Penglibatan pelbagai agensi mencerminkan keperluan pendekatan dakwah yang menyeluruh dan bersepadu merangkumi aspek keselamatan, perundangan serta kesejahteraan sosial.
“Dakwah masa kini menuntut kerjasama erat antara institusi agama, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan isu sosial umat ditangani secara berfakta, berhemah dan berpaksikan prinsip Islam,” katanya. – UTUSAN










