Perkembangan sains dan teknologi merubah gaya hidup masyarakat moden masa kini. Dapatan hasil penyelidikan dan pemahaman tabii alam menatijahkan penghasilan pelbagai inovasi sama ada dalam bentuk produk ataupun perkhidmatan. Manifestasi penghasilan daya fikir manusia menghasilkan jalan penyelesaian bagi pelbagai isu global dan sosial seperti kemiskinan, perubahan iklim, pencemaran serta ketidakjaminan makanan.
Dengan kata lain, inovasi bukanlah semata-mata untuk menangani isu global malah lebih bersifat sejagat sebagai mekanisme yang merangkumi penambahbaikan gaya hidup bertujuan memudahkan tugasan seharian individu dan masyarakat.
Justeru, bukan mudah untuk merealisasikan inovasi kerana ia bukan sahaja melibatkan idea semata tetapi memerlukan dedikasi dalam merealisasikannya dan ketabahan untuk mengatasi pelbagai cabaran dalam mengaplikasikannya.
Persoalannya, bagaimanakah cara untuk menyuburkan budaya inovasi dalam kalangan remaja? Ini boleh direalisasikan dengan penglibatan generasi baharu dalam dunia inovasi. Penglibatan golongan muda dan remaja haruslah digalakkan dan dorongan semangat oleh semua pihak khususnya melibatkan peranan ibu bapa dan guru. Selain itu, peranan pihak pentadbir sekolah juga tidak kurang pentingnya.
Sewajarnya pihak pentadbir membantu menyediakan medium dan kemudahan yang diperlukan seperti ruang pembuat, kelas pengekodan dan peluang pembelajaran berasaskan projek sejak dibangku sekolah rendah lagi.
Dalam pada masa yang sama, pihak guru pula berperanan mendidik serta membentuk minda inovatif dalam kalangan pelajar supaya mereka dapat mencipta dan lebih menghidupkan lagi idea-idea kreatif. Sekiranya saranan ini dapat direalisasikan, pastinya dapat memberi manfaat yang besar kepada pelajar.
Terang lagi bersuluh generasi muda kini mempunyai bakat, kreativiti dan kemahiran dalam menyelesaikan masalah yang kompleks. Kesedaran tentang bidang ini dalam kalangan remaja dapat dibuktikan melalui pertandingan-pertandingan inovasi dan penyelidikan sama ada di peringkat kebangsaan ataupun antarabangsa.
Akhir kalam, pengiktirafan kerajaan terhadap generasi muda dan belia yang mempunyai bakat dan kemahiran dalam inovasi mampu menjadikan negara kita duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain. – UTUSAN
AFEEQAH QAISARA AKMAL,
SITI HAZIZAH ADNAN & NUR ALLEYA NATASHA MOHAMAD SUWARDI
Kolej Permata Insan










