LONDON: Chelsea menghidupkan peluang untuk menamatkan saingan Liga Juara-Juara Eropah dalam kelompok lapan terbaik selepas mencatat kemenangan 1-0 ke atas Pafos pada perlawanan fasa liga, awal pagi tadi.
Jaringan tunggal perlawanan diledak oleh Moises Caicedo pada minit ke-78 apabila pemain tengah Ecuador itu menanduk masuk bola sepakan penjuru Pedro Neto.
Kemenangan itu membolehkan Chelsea naik ke tangga kelapan kedudukan keseluruhan menerusi perbezaan jaringan dengan satu perlawanan berbaki.
Tugasan lebih mencabar menanti The Blues apabila mereka dijadual berkunjung ke Naples menentang Napoli, skuad kendalian bekas pengendali Chelsea, Antonio Conte, minggu depan.
Dalam perlawanan pertama Liga Juara-Juara di bawah kendalian pengendali baharu, Liam Rosenior, Chelsea mendominasi lebih 70 peratus penguasaan bola namun berdepan kesukaran menembusi pertahanan kental pasukan dari Cyprus itu.
Penjaga gol pelawat, Jay Gorter, muncul watak penting dengan beberapa aksi menyelamat cemerlang, termasuk menafikan tiga percubaan berbahaya Caicedo sebelum jaringan kemenangan tercipta.
Sebagai rekod, Chelsea merupakan juara Eropah edisi 2012 dan 2021 dan kini berada dalam kelompok lapan pasukan yang masing-masing mengumpul 13 mata, menjadikan perbezaan jaringan adalah penentu menjelang perlawanan terakhir.-AFP










