PETALING JAYA: Pelaksanaan persekolahan kanak-kanak bermula usia enam tahun selaras dengan realiti semasa yang menuntut pendedahan pembelajaran lebih awal bagi mempercepat perkembangan mereka.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, cadangan tersebut bukan memaksa kanak-kanak menjadi dewasa sebelum waktunya sebaliknya menyesuaikan sistem pendidikan dengan perubahan dunia masa kini.
“Pendedahan awal sudah berlaku secara semula jadi. Kanak-kanak hari ini terdedah kepada bahasa, teknologi, visual, dan maklumat sejak usia sangat muda. Sistem pendidikan tidak boleh ketinggalan berbanding realiti rumah dan persekitaran. Selain itu, keupayaan kognitif kanak-kanak berkembang lebih cepat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya pada umur enam tahun pula, keupayaan berfikir, bertanya, membaca asas, dan berinteraksi sosial sudah matang pada usia enam tahun untuk pembelajaran berstruktur ringan dan berperingkat.
“Sekolah perlu berfungsi sebagai fasilitator, bukan penekan. Persekolahan awal yang betul harus menekankan eksplorasi, pembinaan sahsiah, kemahiran asas dan minat terhadap pembelajaran, bukan peperiksaan atau tekanan akademik,” katanya.
Mohd. Azmi turut menegaskan bahawa akses awal kepada pendidikan mampu membantu mengurangkan jurang pembelajaran antara kanak-kanak daripada latar belakang sosio ekonomi berbeza agar ketidaksamaan tidak terus melebar.
Selain itu, katanya, persekitaran sekolah dapat membantu membina disiplin asas, kemahiran komunikasi dan kebolehan bekerjasama, yang penting sebagai persediaan psikososial sebelum memasuki pembelajaran lebih formal. – UTUSAN










