Rafizi tegur kerajaan soal reformasi

Rafizi tegur kerajaan soal reformasi

Kawalan keselamatan
RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu mengambil kira harapan rakyat dalam melaksanakan usaha reformasi dan memastikan langkah itu tidak hanya cantik ‘di atas kertas.’

Memberi contoh mengenai usaha mereformasi ekonomi negara, Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, ekonomi nampak elok di atas kertas, pertumbuhan dan mata wang juga mengukuh tetapi rakyat di bawah tidak bersorak.

Kata beliau, keadaan itu terjadi kerana ramai orang tidak merasai perkara tersebut di dalam kehidupan harian mereka dan mula menganggap ia sebagai politik semata-mata.

“Sebab itu bila kerajaan reformasi nak pilih reformasi mana yang paling penting, kena fikir apa yang paling atas dalam kepala rakyat. Bukan yang sedap atas kertas, bukan pengumuman yang nampak canggih, yang paling atas ialah kebebasan institusi penguatkuasaan.

“Orang nak tengok lantikan betul, orang nak tengok pendakwaan bebas, orang nak tengok keberanian mendakwa dan memenjarakan pimpinan besar,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Sementara itu, Rafizi berkata, persepsi rakyat tentang usaha melawan rasuah semakin teruk.

Bekas Menteri Ekonomi itu berkata, sebelum ini sebilangan kecil sahaja yang risau tentang rasuah tetapi lebih dua tahun seterusnya, kebimbangan terhadap gejala tersebut meningkat berkali ganda.

“Ini bukan sebab rakyat tiba-tiba jadi sensitif, ini sebab mereka nampak corak. Ada kes besar yang didakwa sekejap, lepas itu senyap. Ada yang jadi dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) dan ada yang akhirnya dilepaskan terus,” katanya.

Beliau yang juga bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, apabila corak tersebut berulang maka pengumuman seperti mahu menghadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri ke dua penggal, kebebasan maklumat (FOI) dan Ombudsman menjadi nipis.

“Rakyat akan cakap ini semua rundingan dalam kerajaan, satu pihak dapat pengumuman, satu pihak dapat kes selesai. Selagi bahagian paling asas itu tidak berubah iaitu penguatkuasaan yang benar-benar bebas dan konsisten, angka makro susah nak jadi keyakinan rakyat,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN