PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan keseriusannya untuk mematuhi keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung tuntutan 40 peratus hasil Sabah dengan meletakkan keutamaan terhadap isu tersebut dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, keputusan mahkamah pada 17 Oktober 2025 tersebut menetapkan dua garis masa pelaksanaan tuntutan berkenaan.
Katanya, ia membabitkan tempoh 90 hari bagi semakan kadar Pemberian Khas Sabah dan tempoh 180 hari untuk Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah mencapai persetujuan serta melaksanakan mekanisme pembayaran.
“Tempoh 90 hari tersebut telah berakhir pada hari ini (14 Januari), dengan satu mesyuarat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah telah diadakan pada 17 November 2025 sebagai sebahagian daripada proses semakan awal dan perbincangan mengenai kerangka, parameter serta perkara perkara asas berkaitan pelaksanaan keputusan mahkamah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mustapha berkata, selaku Menteri yang bertanggungjawab membabitkan isu tersebut, beliau telah membuat kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Sabah, Tun Musa Aman dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, semalam.
Katanya, kunjungan itu adalah untuk memperteguhkan tekad bagi menyegerakan keseluruhan proses semakan mengikut garis masa mahkamah serta menjunjung kedaulatan undang-undang demi kepentingan rakyat Sabah dan negara keseluruhannya.
Pada 17 Oktober tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan Kerajaan Persekutuan mempunyai kewajipan untuk mengadakan semakan dan membayar semula Hak Tuntutan 40 peratus hasil bersih yang diperoleh dari Sabah.
Hakim, Datuk Celestina Stuel Galid, mengarahkan Kerajaan Persekutuan membuat semakan kadar pemberian khas terbabit dalam tempoh 90 hari dan mencapai persetujuan pembayaran dalam tempoh 180 hari dari tarikh perintah dikeluarkan. – UTUSAN










