Hasil 40 peratus: Jawatankuasa dwipartisan wajar ditubuhkan di Sabah

Hasil 40 peratus: Jawatankuasa dwipartisan wajar ditubuhkan di Sabah

JONISTON Bangkuai menghadiri sambutan Kaamatan dan Moginakan di Kampung Sinulihan, Kiulu, Tuaran, Sabah hari ini. UTUSAN/HARDY JOE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUARAN: Sebuah jawatankuasa dwipartisan di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah perlu ditubuhkan untuk memberi tumpuan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terutama tuntutan 40 peratus untuk hasil negeri itu.

Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Joniston Bangkuai berkata, jawatankuasa itu perlu membabitkan wakil kerajaan dan pembangkang termasuk parti politik yang tidak mempunyai kerusi dalam DUN.

“Pendekatan itu penting memastikan perbincangan mengenai hak Sabah mencerminkan pandangan lebih luas dan tidak terhad kepada wakil rakyat semata-mata.

“Isu 40 peratus memberi kesan kepada semua rakyat Sabah. Adalah adil pelbagai suara dan idea didengar tanpa mengira latar belakang politik,” katanya di Kampung Sinulihan, Kiulu di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu berkata, walaupun kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sedang giat mengusahakan tuntutan Sabah mengikut MA63, jawatankuasa dwipartisan itu boleh membantu menghimpunkan idea serta input praktikal daripada semua pihak.

Katanya, ini bukan soal siapa mendapat kredit, kerana lebih penting bagaimana pemimpin negeri ini bergerak ke hadapan bersama demi Sabah.

“Kita mungkin berbeza pandangan politik, tetapi dalam soal hak Sabah, kita perlu mencari titik persamaan. Ini lebih besar daripada politik,” katanya.

Beliau berkata, cadangan seumpama itu juga pernah dibangkitkan parti politik lain sebelum ini dan pendekatan dwipartisan mampu mengelakkan isu berkenaan daripada terus menjadi bahan politik setiap kali musim pilihan raya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN