Kerajaan Persekutuan tidak rayu formula 40 peratus hasil Sabah

Kerajaan Persekutuan tidak rayu formula 40 peratus hasil Sabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) menjelaskan kerajaan Persekutuan tidak merayu terhadap formula 40 peratus hasil Sabah, sebaliknya merayu berkaitan sebahagian keputusan Mahkamah Tinggi berhubung tafsiran Perlembagaan Persekutuan.

AGC berkata, rayuan itu melibatkan tafsiran peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan dapatan bahawa kerajaan Persekutuan serta kerajaan Sabah menyalahgunakan kuasa dan melanggar kewajipan perlembagaan sejak 1974.

“Pada 6 April lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan kerajaan Persekutuan untuk menggantung pelaksanaan penghakiman yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober 2025 berhubung kajian semula Pemberian Khas Sabah dari tahun 1974 hingga 2021 sementara menunggu pendengaran rayuan kerajaan Persekutuan di Mahkamah Rayuan.

“Penggantungan ini bagi membolehkan rayuan kerajaan Persekutuan didengar dan tidak menjadi akademik serta sia-sia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

AGC berkata, perintah penggantungan tersebut tidak meliputi dapatan Mahkamah Tinggi berkenaan peruntukan 40 peratus di bawah Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan.

“AGC juga menegaskan bahawa rayuan yang difailkan oleh kerajaan Persekutuan bukanlah terhadap formula 40 peratus tersebut,” katanya.

Terdahulu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai oleh Datuk Mohamed Zaini Mazlan membenarkan Kerajaan Persekutuan menangguhkan semakan berhubung pengiraan dan pembayaran hasil Persekutuan yang layak diberikan kepada Kerajaan Negeri Sabah untuk tempoh 47 tahun.

Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Ismail Brahim dan K. Muniandy sebulat suara berpuas hati wujud keadaan istimewa yang mewajarkan permohonan penangguhan dibenarkan sementara rayuan penuh dilupuskan.

Panel itu berpendapat, selain bertujuan memelihara integriti merit rayuan, kerajaan Pusat akan berada dalam keadaan yang prejudis jika permohonan penangguhan ditolak.

Mahkamah berpuas hati, semakan itu melibatkan sejumlah dokumen yang banyak yang menyentuh hasil kewangan Kerajaan Persekutuan dalam tempoh 47 tahun bermula 1974 hingga 2021.

Pada 17 Oktober tahun lalu, Hakim Datuk Celestina Stuel Galid, mengarahkan kerajaan Persekutuan membuat semakan kadar pemberian khas tersebut dalam tempoh 90 hari dan mencapai persetujuan pembayaran dalam tempoh 180 hari dari tarikh perintah dikeluarkan.

Penghakiman berkenaan dibuat ketika mahkamah membenarkan permohonan semakan kehakiman yang difailkan Sabah Law Society (SLS).

Hakim berkenaan berpuas hati, Kerajaan Persekutuan telah bertindak secara menyalahi undang-undang dan melampaui kuasa perlembagaannya kerana gagal menunaikan hak Sabah untuk menerima 40 peratus hasil Persekutuan dari tahun 1974 hingga 2021. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN