KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick berkata, beliau tidak bersetuju dengan pandangan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Haris Salleh berhubung tuntutan hak 40 peratus hasil negeri.
Ewon yang juga Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berkata, hak 40 peratus adalah antara syarat Sabah sama-sama menubuhkan Persekutuan Malaysia bersama wilayah lain pada 1963.
Katanya, beliau telah membaca kenyataan mantan Ketua Menteri berkenaan yang menyatakan adalah lebih baik untuk tidak membubut (mengejar) pembayaran 40 peratus sebaliknya mendesak kerajaan Persekutuan untuk menaik taraf pembangunan lain seperti sekolah, hospital, jalan raya dan sebagainya.
“Sebagai Presiden UPKO saya tidak bersetuju dengan pandangan tersebut kerana hak 40 peratus merupakan satu perkara yang telah menjadi syarat penyertaan Sabah dalam perundingan penubuhan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jawapan tersebut merupakan maklum balasnya terhadap kenyataan Harris yang menyatakan Sabah lebih wajar mendesak kerajaan Persekutuan menaik taraf sekolah, hospital dan jalan raya berbanding menuntut hak 40 peratus hasil cukai.
Ewon berkata, tanpa penerimaan kepada syarat tersebut, Sabah tidak mungkin bersetuju menubuhkan Persekutuan Malaysia bersama dengan wilayah lain pada tahun 1963.
Menurutnya, tanpa Sabah, tidak mungkin ada negara yang dipanggil ‘Malaysia’ dan persetujuan itu juga termaktub dalam Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan.
“Pembangunan ataupun tanggungjawab untuk membina kemudahan sekolah, hospital, lebuh raya dan banyak perkara lain sudah menjadi tanggungjawab kerajaan Persekutuan yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Kita ada senarai Persekutuan, kita ada senarai negeri dan kita ada senarai bersama. Jadi ianya dua perkara yang berbeza.
“Hak 40 peratus itu adalah tanggungjawab perlembagaan yang mesti dan sepatutnya dilaksanakan. Tanggungjawab untuk pembangunan di bawah senarai Persekutuan seperti pendidikan, kesihatan dan lebuh raya, keselamatan dalam negeri dan keselamatan sempadan, itu tanggungjawab kerajaan Persekutuan yang telah dipersetujui semasa penubuhan Malaysia,” katanya.
Menurutnya, pendirian UPKO sangat jelas, selaras dengan pendekatan kerajaan negeri iaitu melalui pendekatan government to government yang akan terus menuntut pelaksanaan semula hak 40 peratus yang tertangguh sejak 1974. – UTUSAN










