KOTA KINABALU: Usaha memuktamadkan formula dan jumlah bayaran 40 peratus hasil Persekutuan kepada Sabah akan terus dipergiat walaupun terdapat penangguhan pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi berhubung perkara terbabit.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan penangguhan tersebut tidak seharusnya memperlahankan atau menghentikan usaha sedia ada.
Menurutnya, Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) Malaysia dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) Sabah perlu meneruskan proses pengiraan, pengesahan data serta rundingan teknikal yang telah dimulakan sebelum ini.
“Proses ini melibatkan penilaian kompleks merangkumi tempoh panjang serta memerlukan penelitian menyeluruh terhadap data kewangan dan rekod sejarah.
“Tempoh tambahan susulan penangguhan ini memberi ruang lebih mencukupi kepada kedua-dua pihak untuk memastikan setiap aspek diperincikan secara teliti, telus dan berintegriti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Mustapha berkata, momentum kerja yang telah dibina tidak wajar dihentikan.
“Sebaliknya, ia perlu diperkukuhkan agar formula pengiraan dan jumlah bayaran yang adil serta tepat dapat dimuktamadkan secepat mungkin.
“Ini selari dengan saranan Perdana Menteri bahawa isu 40 peratus ini perlu diselesaikan secara tuntas dan berlandaskan semangat Perlembagaan Persekutuan serta keadilan kepada negeri Sabah.
“Komitmen kita adalah jelas iaitu memastikan hak Sabah dilaksanakan dengan pendekatan yang bertanggungjawab, berasaskan fakta dan melalui kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan,” katanya.
Pada masa yang sama, beliau menggesa semua pihak perlu mengambil kira keadaan kewangan negara dalam menangani krisis ekonomi disebabkan peperangan di Asia Barat.
“Keutamaan sekarang ialah memastikan kesan krisis dapat diminimumkan dan kebajikan rakyat terus mendapat perhatian,” katanya. – UTUSAN










