Piala Asia Futsal 2026: Malaysia tewas 1-4 dengan Iran

Piala Asia Futsal 2026: Malaysia tewas 1-4 dengan Iran

BARISAN Pemain negara yang beraksi di Piala Asia Futsal 2026 di Jakarta.-IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad futsal negara membuka kempen Piala Asia Futsal 2026 dengan kekalahan apabila tunduk 1-4 kepada Iran dalam perlawanan pertama Kumpulan D, hari ini.

Pada aksi yang berlangsung di Velodrom Antarabangsa Jakarta, Indonesia, skuad negara dibolosi seawal minit pertama menerusi Mohammad Hossein Derakhshani yang memanfaatkan situasi salah faham antara penjaga gol Malaysia, Syaifuddin dan rakan sepasukan, Saad Abdul Sani.

Jaringan tunggak itu kekal hingga berakhir separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, gawang Malaysia dibolosi tiga kali dalam tempoh empat minit menerusi ledakan Behrooz Azimi (minit ke-25), Hossein Tayyebi (minit ke-27) dan Moslem Oladghobad (minit ke-28), sekali gus memberikan kelebihan selesa 4-0 kepada Iran.

Bagaimanapun, Malaysia berjaya mendapatkan gol pada minit akhir menerusi tolakan mudah Awalluddin Nawi.

Keputusan itu, menyaksikan Malaysia menghuni tangga ketiga manakala Iran mendahului kedudukan Kumpulan D.

Skuad negara akan menentang Afghanistan, Jumaat ini, sebelum menutup saingan kumpulan menentang Arab Saudi, Ahad ini.

Untuk rekod, skuad futsal Harimau Malaya gagal melayakkan diri di dua edisi Piala Asia Futsal sebelum ini, iaitu di Kuwait pada 2022 dan Thailand pada 2024.

Dalam 12 penampilan sejak 1999, Malaysia hanya mampu beraksi di peringkat kumpulan dan belum pernah mara ke suku akhir.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN