BANGKOK: Ketua jurulatih futsal negara, Rakphol Seinetngam memilih tidak memperbaharui kontraknya bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Jurulatih kelahiran Thailand itu bertindak sedemikian selepas difahamkan menerima tawaran lebih baik untuk mengendalikan pasukan kebangsaan negaranya.
Situasi itu bermakna kejayaan membantu Malaysia menduduki tempat ketiga di Kejuaraan Futsal Bawah 19 Tahun (B-19) ASEAN 2025 menjadi sumbangan terakhirnya.
Perkhabaran ini pastinya menjadi khabar duka buat arena futsal di Malaysia memandangkan Rakhpol sudah pun berjaya meletakkan tanda aras tinggi buat sukan itu.
Difahamkan, bekas pemain futsal negara, Addie Azwan Zainal akan meneruskan legasi ditinggalkan Rakhpol dan bakal mengetuai skuad negara di Piala Asia Futsal 2026 di Indonesia hujung Januari ini.
“Malaysia memiliki pemain futsal berbakat namun setiap pemain kena bekerja keras untuk jadi lebih baik. Jaga diri, kuatkan fizikal dan kekalkan disiplin untuk jadi pemain yang lebih baik.
“Harapan saya, suatu hari nanti saya mahu lihat kamu semua menentang pasukan yang saya bimbing iaitu skuad senior Thailand” kata Rakhpol kepada barisan pemain skuad B-19 negara, semalam.
Daripada didikan Rakhpol, sekurang-kurangnya dua pemain B-19 akan berada dalam senarai awal skuad senior yang bakal bersaing di Piala Asia Futsal 2026.
Selain berjaya membawa Malaysia ke Piala Asia 2026 dan pacu skuad muda negara berada di kedudukan ketiga Kejuaraan Futsal B-19 ASEAN 2025, Rakhpol juga membantu mereka meraih gangsa Sukan SEA 2025.
Untuk rekod, jurulatih yang mempunyai nama besar di rantau Asia Tenggara itu mula dilantik sebagai pengendali futsal Malaysia pada Ogos 2023 dan kontraknya akan berakhir hari ini.
APTION
Rakphol Seinetngam (barisan tengah) berjaya membimbing skuad futsal kebangsaan merih tempat ketiga Kejuaraan Futsal B-19 ASEAN 2025. – IHSAN FAM










