Noor Azman tidak bersalah, kembali bertugas di FAM

Noor Azman tidak bersalah, kembali bertugas di FAM

SETIAUSAHA AGUNG FAM, NOOR AZMAN RAHMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memutuskan penggantungan Datuk Noor Azman Rahman telah berakhir, sekali gus membolehkan beliau kembali menggalas tugas sebagai Setiausaha Agung badan induk bola sepak itu berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib FAM yang berlangsung pada 7 Januari lalu selepas mengambil kira keseluruhan fakta dan laporan berkaitan kes berkenaan.

Sebelum ini, Jawatankuasa Eksekutif FAM pada 22 Disember 2025 telah meneliti laporan Jawatankuasa Siasatan Bebas (IIC) dan memutuskan untuk meneruskan penggantungan Datuk Noor Azman yang berkuat kuasa sejak 17 Oktober 2025 bagi membolehkan kes tersebut dirujuk ke Jawatankuasa Tatatertib FAM untuk tindakan lanjut.

Jawatankuasa Tatatertib FAM yang dipengerusikan Datuk Dr. Baljit Singh Sidhu kemudian bermesyuarat dengan mengambil kira tempoh penggantungan yang telah dilalui serta laporan IIC bertarikh 15 Disember 2025 sebelum membuat keputusan muktamad.

Berdasarkan pertimbangan tersebut, jawatankuasa berkenaan memutuskan untuk mengembalikan Datuk Noor Azman ke jawatan Setiausaha Agung FAM dengan serta-merta, sekali gus menamatkan sepenuhnya tempoh penggantungannya.

Keputusan terbaharu itu juga menjelaskan bahawa Noor Azman hanya didapati terlibat dalam isu kecuaian pentadbiran dan tidak bersalah atau terbabit dalam sebarang kes pemalsuan dokumen seperti yang didakwa sebelum ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN