MAINPP kutip zakat hampir RM200 juta sepanjang 2025

MAINPP kutip zakat hampir RM200 juta sepanjang 2025

MOHAMAD ABDUL HAMID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) mengutip zakat hampir RM200 juta sepanjang 2025 membuktikan keyakinan tinggi masyarakat Islam terhadap pengurusan serta integriti institusi zakat di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, sehingga semalam, jumlah kutipan sebanyak RM196.54 juta dengan RM187.65 juta daripadanya zakat harta dan bakinya,  sebanyak RM8.89 adalah zakat fitrah.

Beliau yang juga Yang Dipertua Zakat MAINPP berkata, jumlah tersebut dijangka melepasi RM200 juta selepas penyelarasan akaun dilakukan dalam tempoh dua minggu dengan kutipan rasmi dimuktamadkan pada 17 Januari ini.

“Pencapaian ini peningkatan lebih 10 peratus berbanding kutipan tahun 2024 iaitu sebanyak RM172.8 juta. Ini bukti jelas kepercayaan dan keyakinan masyarakat terhadap integriti serta tadbir urus MAINPP dan Zakat MAINPP,” katanya di sini, hari ini.

Jelas Mohamad, kesedaran dalam kalangan pembayar zakat meningkat selepas melihat keberkesanan pelbagai program pembangunan asnaf dilaksanakan oleh MAINPP.

“MAINPP yakin melalui perancangan strategik, penambahbaikan sistem perkhidmatan zakat serta kempen kesedaran berterusan, iltizam memperkasa institusi zakat akan terus direalisasikan,” katanya.

Katannya, zakat tersebut akan dimanfaatkan bagi memperkasa golongan asnaf melalui program pembangunan ekonomi, pendidikan, kebajikan dan kesejahteraan ummah selaras dengan Agenda Pembangunan Agama Islam 2030 Negeri Pulau Pinang (APAI2030). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN