BUKIT MERTAJAM : Pembelian lot tanah di Mukim 3, Seberang Perai Selatan bernilai RM9.86 juta yang dikatakan menggunakan dana zakat oleh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) mencetuskan persoalan apabila didakwa terletak hanya kurang 300 meter dari kandang babi.
Penyelaras Pembela Tanah Air (Peta), Pulau Pinang, Zulkifli Ibrahim berkata, sehubungan itu, pembayar zakat di negeri ini berhak mendapat penjelasan terperinci daripada Yang Dipertua MAINPP, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid mengenai rasional pembelian tanah tersebut khususnya melibatkan penggunaan dana lebihan zakat atau wang tawafuq.
“MAINPP telah membeli tanah di Lot 240, 264 dan 265 Mukim 3, Seberang Perai Selatan seluas 14.6918 ekar menggunakan dana zakat dari Zakat MAINPP bernilai RM9.86 juta.
“Pada masa yang sama, kandang babi yang melibatkan Lot 10206, 10207 dan 10145 terletak kurang daripada 300 meter dari tanah yang dibeli oleh MAINPP tersebut. Kalau kita ada di kawasan ini, memang sudah boleh bau sesuatu yang kurang menyenangkan.
“Jadi, perkara ini menimbulkan persoalan mengenai kesesuaian kawasan berkenaan sekiranya dirancang untuk sebarang pembangunan berkaitan penempatan atau kebajikan asnaf,” katanya dalam sidang akhbar yang turut dihadiri oleh Aktivis Peta, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard dan Penyelaras Peta, Azam Melaka.
Sebelum ini, SPRM dilaporkan sedang menyiasat dakwaan penyalahgunaan kuasa oleh seorang pegawai kanan kerajaan negeri Pulau Pinang berhubung pembelian tanah menggunakan dana zakat.
Siasatan itu dimulakan selepas seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) membangkitkan isu berkenaan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri pada penghujung tahun lalu.
Zulkifli yang juga bekas ADUN Sungai Acheh turut mempersoalkan kesesuaian lokasi tanah berkenaan yang didakwa berada tidak jauh daripada kawasan kuari aktif, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai potensi pembangunan penempatan atau projek kebajikan di kawasan tersebut.
“Selain itu, terdapat laluan kabel voltan tinggi milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang merentasi sebahagian kawasan tanah berkenaan yang boleh mengehadkan pembangunan masa hadapan,” katanya.
Dalam pada itu, Chegubard berkata, kewujudan kandang babi berhampiran tanah yang dibeli MAINPP dengan menggunakan dana zakat itu menimbulkan persoalan berhubung kesesuaian kawasan tersebut untuk kegunaan asnaf.
Sementara itu, Utusan Malaysia telah menghubungi Mohamad yang juga Timbalan Ketua Menteri 1 untuk mengulas mengenai isu itu, namun, setakat pukul 1 tengah hari ini, beliau masih belum memberi sebarang respon. – UTUSAN










