GEORGE TOWN: Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu atau pihak yang menyebarkan fitnah terhadap agensi itu demi menjaga kesucian institusi Islam serta maslahah ummah di negeri ini.
Setiausaha MAINPP, Datuk Rosidi Hussain berkata, pendirian tegas itu diambil susulan penularan pelbagai tohmahan dan dakwaan tidak berasas di media sosial berkaitan isu bantuan khas asnaf serta perolehan tanah oleh MAINPP yang disifatkan berniat jahat serta mengelirukan orang ramai.
Menurut beliau, semua fakta berhubung isu berkenaan telah pun direkodkan secara rasmi dalam hansard Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang melalui penjelasan Timbalan Ketua Menteri I merangkap Yang Dipertua MAINPP, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid pada Sidang DUN, November lalu.
“Dalam hal ini, MAINPP bertindak sepenuhnya berlandaskan peruntukan undang-undang di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Pulau Pinang 2004 termasuk kuasa penuh dalam hal ehwal sosial masyarakat Islam serta pentadbiran dan pengagihan zakat,” katanya di sini, hari ini.
Sebelum ini, tular di media sosial berhubung dakwaan berlakunya salah laku berkaitan bantuan khas dan perolehan tanah oleh agensi di bawah seliaan MAINPP iaitu Zakat Pulau Pinang (ZPP).
Mengulas isu bantuan khas asnaf yang dipersoalkan pula, Rosidi berkata, bantuan berjumlah RM178,368.60 itu diluluskan bagi menyelesaikan baki pinjaman perumahan seorang asnaf miskin yang berdepan masalah kesihatan kritikal dan tanggungan keluarga berat, selaras dengan prinsip maqasid syariah.
Katanya, bantuan tersebut diluluskan menerusi proses tatakelola yang ketat melibatkan Mesyuarat Jawatankuasa Perumahan dan Fasiliti Zakat serta Mesyuarat Lembaga Pengarah Zakat MAINPP yang dihadiri 14 ahli, termasuk Sahibus Samahah Mufti kerajaan negeri Pulau Pinang.
“Keputusan dibuat secara kolektif dan telus, dengan bayaran disalurkan terus ke akaun pembiayaan perumahan atas nama isteri arwah bagi menjamin kelangsungan tempat tinggal keluarga,” katanya.
Sementara itu, berhubung isu perolehan tanah, Rosidi menjelaskan, cadangan penjualan tanah berkenaan telah bermula sejak Januari 2021 dan melalui beberapa peringkat siasatan, penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) serta penelitian Jawatankuasa berkaitan.
“Tanah Lot 240, 264 dan 265 di Mukim 3, Seberang Perai Selatan seluas 14.6918 ekar dengan nilai RM9.86 juta diperoleh menggunakan dana wang tawaquf bagi tujuan memperkukuh pemilikan tanah umat Islam serta pembangunan manfaat kepada golongan asnaf,” katanya yang memberitahu, transaksi tersebut dilaksanakan secara telus serta mematuhi pandangan fatwa.
Tambah Rosidi, MAINPP turut menolak sekeras-kerasnya sebarang tohmahan yang cuba mengaitkan isu berkenaan dengan kepentingan peribadi mana-mana pihak termasuk Mohamad selaku Yang Dipertua MAINPP. – UTUSAN








