KUALA LUMPUR: Kejadian letupan di sebuah universiti swasta di Bukit Damansara di sini hari ini dipercayai berlaku ketika kerja-kerja penyelenggaraan dijalankan oleh kontraktor penyelenggaraan.
Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian letupan gas pada pukul 11.51 pagi hari ini.
Seramai 38 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Hartamas dibantu BBP Sentul, BBP Taman Tun Dr. Ismail dan BBP Jalan Tun Razak dikejarkan ke lokasi kejadian.
Menurut Komander Operasi Kanan, Mohd. Suhaimi Mohd Razali, setiba pasukan bomba di lokasi, didapati berlaku satu letupan di kafeteria universiti berkenaan yang terletak di tingkat empat bangunan berkenaan.
“Letupan tersebut menyebabkan kerosakan kira-kira 30 peratus di tingkat empat dan tidak melibatkan sebarang kebakaran.
“Hasill siasatan awal mendapati, letupan berlaku di bilik kompresor penghawa dingin yang berada dalam kafeteria terbabit.
“Kejadian dipercayai berlaku semasa kerja-kerja penyelenggaraan dijalankan oleh kontraktor penyelenggaraan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, hasil maklumat terkini mendapati seramai 10 mangsa terlibat iaitu seorang lelaki dikenal pasti kontraktor penyelenggaraan yang disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di hospital.
Katanya. seramai sembilan mangsa yang cedera telah dihantar ke hospital untuk menerima rawatan lanjut terdiri daripada empat pelajar, dua kontraktor penyelenggaraan, seorang pekerja penyelenggaraan bangunan dan dua pekerja kantin.
“Tahap kecederaan kesemua mangsa yang dirawat masih belum dikenal pasti dan tertakluk kepada pengesahan pihak hospital.
“Siasatan kebakaran sedang dijalankan dan pasukan HAZMAT turut menjalankan pemeriksaan bagi mengenal pasti kemungkinan kebocoran gas di lokasi kejadian.
“Hasil pemantauan tiada kewujudan gas berbahaya dikesan dan keadaan dilaporkan terkawal,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan seorang disahkan maut manakala sembilan mangsa cedera dalam insiden letupan di sebuah universiti swasta di Jalan Semantan, di sini, hari ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kesemua mangsa terdiri daripada enam lelaki dan empat wanita
Menurutnya, mangsa maut membabitkan lelaki tempatan berusia 24 tahun disahkan maut di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
“Dua kontraktor lelaki tempatan parah, empat pelajar dan seorang juruteknik cedera, manakala dua pekerja kantin warga Indonesia cedera ringan,” katanya. – UTUSAN








