Kes kehilangan Nadia Kesuma dirujuk kepada Konsulat Malaysia di Arab Saudi

Kes kehilangan Nadia Kesuma dirujuk kepada Konsulat Malaysia di Arab Saudi

NADIA KESUMA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Kes kehilangan pelakon wanita, Nadiah Kasumawati Binti Abdul Karim, 50, atau Nadia Kesuma telah dirujuk kepada Konsulat Malaysia di Arab Saudi.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner M Ravi ketika dihubungi di sini, hari ini.

Ravi berkata, laporan polis kes kehilangan pelakon itu kini diklasifikasikan sebagai Orang Hilang (OH).

“Kami telah menerima satu laporan polis dibuat seorang lelaki Melayu berumur 47 tahun yang merupakan adik kepada mangsa tengah hari semalam.

“Laporan itu menyebut mangsa gagal dihubungi oleh ahli keluarga setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Jeddah, Arab Saudi pada 15 Januari lalu sekitar pukul 12.30 pagi,” katanya.

Katanya, mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA dan talian 03-87768222 atau Pegawai Penyiasat Inspektor Puvanesan a/l Raja Segeran di talian 019-5883034.

Media sebelum ini melaporkan, Nadia Kesuma menyertai kumpulan umrah dan ziarah sebuah agensi pelancongan terdiri daripada 21 peserta bermula dari 14 hingga 28 Januari ini.

Bagaimanapun, pelakon filem Syaitan Munafik dan Kudeta itu gagal dikesan selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×