KUALA LUMPUR: Sistem yang membenarkan kanak-kanak memasuki Tahun Satu pada usia enam tahun dilihat berisiko mewujudkan stigma suka membuat perbandingan, sekali gus memberi tekanan emosi.
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) berkata, kanak-kanak yang dianggap lambat atau kurang cerdik akan dibandingkan dengan pelajar yang cepat belajar, sekali gus menimbulkan label negatif dan meningkatkan risiko buli serta diskriminasi di sekolah.
“Terdapat kemungkinan wujudnya stigma terhadap kanak-kanak yang mendaftar ke Tahun Satu pada usia tujuh tahun, sementara kanak-kanak berusia enam tahun diberi pilihan kemasukan awal.
“Ini boleh menyebabkan buli dan diskriminasi apabila mereka yang masuk pada usia tujuh tahun dilabel sebagai lambat. Siapa yang akan lulus peperiksaan ini? Sudah tentu kanak-kanak daripada keluarga kaya yang mampu menghantar anak mereka ke prasekolah.
“Sekiranya sistem dua darjat ini diteruskan, pelajar yang lulus ujian diagnostik akan terus diberi label cerdik, manakala mereka yang gagal akan dianggap lambat,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Syed Saddiq, prasekolah juga tidak dapat diakses oleh semua golongan apabila majoriti murid datang daripada keluarga berpendapatan M40 dan T20.
Katanya, golongan berkenaan akan mendapat kelebihan berbanding kanak-kanak daripada keluarga yang tidak mampu membiayai prasekolah.
“Walaupun kemasukan pada usia enam tahun bersifat pilihan, ia seolah-olah mewujudkan kasta awal dalam sistem pendidikan.
“Semua ibu bapa mahukan anak mereka mendapat kelebihan dalam pengalaman pembelajaran, tetapi peperiksaan diagnostik boleh menimbulkan perbandingan tidak sihat di kalangan ibu bapa,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, terdapat juga kemungkinan prasekolah boleh berubah menjadi ‘stress school’.
Katanya, fungsi utama prasekolah bukan untuk menekankan akademik, tetapi membentuk nilai murni, kemahiran sosial dan keseronokan dalam pembelajaran.
“Dengan dasar baharu, guru terpaksa memastikan murid lulus ujian diagnostik menyebabkan fokus pembelajaran berorientasikan peperiksaan.
“Pelaksanaan ujian diagnostik bagi kemasukan Tahun Satu akan menambah tanggungjawab guru, meningkatkan nisbah pelajar kepada guru dan menjejaskan kualiti pendidikan,” katanya. – UTUSAN










