PETALING JAYA: Undian Piala Malaysia 2025/26 menyaksikan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak diberikan laluan mudah apabila diundi bertemu pasukan PDRM pada pusingan 16 terbaik kejohanan itu.
Cabaran daripada skuad The Cops itu dijangka menguji ketajaman skuad Harimau Selatan yang pastinya mahu mempertahankan kejuaraan, meskipun dilihat memiliki kelebihan dari segi pengalaman dan kekuatan skuad.
Selain pertembungan tersebut, Selangor turut berdepan tugasan getir apabila dijadualkan menentang Kelantan The Real Warrior FC, manakala Sabah FC bakal diuji Melaka FC dalam satu lagi perlawanan yang berpotensi mencuri tumpuan.
Dalam undian sama, Kuching City FC bakal berdepan Penang FC yang dijangka menjadi satu pertembungan yang sengit antara kedua-dua pasukan.
Sementara itu, Terengganu FC pula bakal bertemu salah satu pasukan Liga A1 Semi Pro iaitu UM-Damansara United, sementara Kuala Lumpur (KL) City dijadualkan menentang Perak FA.
Dalam pada itu, Negeri Sembilan FC bakal melayani cabaran Imigresen FC, manakala satu lagi perlawanan menarik menemukan pasukan Liga A1 iaitu Kelantan Red Warrior dengan wakil Brunei, DPMM FC.
Mengikut struktur undian, pasukan yang berada pada kedudukan 1, 4, 5 dan 8 diletakkan dalam satu laluan sama, manakala kedudukan 2, 3, 6 dan 7 berada di bahagian bertentangan dalam misi memburu tiket ke pusingan seterusnya.
Saingan Piala Malaysia 2025/26 dijadualkan membuka tirai pada Januari ini dengan perlawanan akhir dirancang berlangsung sekitar Mei 2026, sekali gus menjanjikan persaingan sengit sepanjang musim.-UTUSAN










