Tinggal dadah RM4.18 juta di pesisir pantai - Utusan Malaysia

Tinggal dadah RM4.18 juta di pesisir pantai

ISMAIL Hashim menunjukkan gambar rampasan dadah yang ditinggalkan di pesisir pantai bernilai RM4.18 juta dalam sidang akhbar di Kangar, Perlis hari ini.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri merampas dadah jenis kanabis seberat 136.504 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM4.18 juta yang ditinggalkan di celah-celah batu pesisir pantai Jalan Pesisir Pantai Ruat, Yan, Kedah pada 22 Februari lalu.

Pengarah Kastam negeri, Ismail Hashim berkata, dalam operasi sekitar pukul 12.30 tengah hari itu, anggota cawangan Penguatkuasaan dan Marin Kuala Perlis menemukan enam plastik hitam ditinggalkan dalam keadaan mencurigakan di celah kawasan berbatu di pesisir pantai berkenaan.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati bungkusan tersebut mengandungi 79 ketulan mampat disyaki kanabis seberat 87.54 kilogram bernilai RM262,620.

“Turut ditemukan, 90 bungkusan plastik lutsinar berisi tumbuhan kering dipercayai bunga kanabis seberat 48.964 kilogram bernilai RM3.92 juta.

“Modus operandi sindiket adalah dengan meninggalkan bungkusan dadah di kawasan pesisir pantai sebelum ia dipungut oleh individu lain bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat Kastam Kangar di sini hari ini.

Ismail memberitahu, jumlah keseluruhan kanabis yang dirampas itu boleh digunakan oleh kira-kira 204,000 penagih dan dipercayai untuk pasaran sekitar Lembah Klang.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan, jika sabit kesalahan,” katanya.

Dalam kes berasingan, Ismail berkata, pihaknya merampas dua motosikal jenis Harley-Davidson disyaki tidak berkastam hasil pemeriksaan di sebuah premis di Petaling Jaya, Selangor pada 26 Februari lalu.

Katanya, kedua-dua motosikal mewah tersebut dianggarkan bernilai RM57,000 dengan jumlah cukai RM45,030.

“Pemeriksaan mendapati sebuah motosikal mempamerkan nombor pendaftaran Malaysia manakala sebuah lagi tanpa nombor pendaftaran. Namun, kedua-duanya dikesan menggunakan nombor pendaftaran palsu bagi mengaburi pihak berkuasa,” katanya.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN