LONDON: Darren Fletcher mendedahkan beliau mendapatkan nasihat Sir Alex Ferguson sebelum menerima jawatan pengurus sementara Manchester United
Bekas pemain tengah United itu dilantik buat mengendalikan The Red Devils buat sementara Waktu selepas Ruben Amorim dipecat secara mengejut kelmarin
Amorim dipecat selepas 14 bulan bergelut di Old Trafford yang berakhir dengan kritikan pedas terhadap pengurusan United hujung minggu lalu.
United berulang kali menghadapi krisis sejak pengurus lagenda, Ferguson bersara selepas memenangi gelaran Inggeris terakhir mereka pada tahun 2013.
Menyedari pelbagai isu kelab, Fletcher bercakap dengan bekas bosnya, yang masih kerap hadir ke perlawanan United, sebelum melangkah daripada jawatan jurulatih skuad bawah 18 tahun bagi aksi Liga Perdana Inggeris (EPL).
“Saya sudah bercakap dengannya. Saya tidak suka membuat keputusan besar tanpa berbincang dengan Sir Alex dan itulah amalan saya sejak berada di kelab dan selepas meninggalkannya.
“Saya ada hubungan baik dengan Sir Alex, jadi beliau adalah orang pertama yang saya hubungi. Saya mahu dapatkan restunya, untuk jujur. Saya rasa beliau layak dihormati.
“Saya mahu tahu pendapatnya dan beliau menyokong keputusan itu serta mengulang apa yang selalu saya pegang – buat yang terbaik untuk Manchester United.
“Sebagai pekerja kelab, tugas kita adalah memberikan yang terbaik untuk United dan ia sangat menguatkan apabila beliau berkata begitu, sesuatu yang saya cuba amalkan setiap hari,” kata Fletcher.
Fletcher tidak berpeluang bercakap dengan Amorim sebaik dilantik sebagai pengurus sementara kelima United sejak Ferguson bersara.
Bekas pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer dan bekas pengurus Middlesbrough, Michael Carrick juga dikaitkan sebagai calon pengurus sementara bersama Fletcher hingga hujung musim ketika kelab mencari pengganti tetap Amorim.
Amorim kerap kelihatan tergugat dengan kritikan bekas pemain United, tetapi Fletcher percaya pengurus perlu menerima kritikan sebegitu di “kelab terbesar dunia.”
“Tidak boleh minta mereka berlembut kerana mereka bersemangat dan berhak menyuarakan pendapat dan mereka memang bagus,” katanya merujuk kepada Gary Neville, Roy Keane dan Paul Scholes. – AGENSI










