Imam didenda RM800 rakam adik ipar mandi ketika balik beraya

Imam didenda RM8,000 rakam adik ipar mandi ketika balik beraya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Mahkamah Majistret di sini hari ini, menjatuhkan hukuman denda RM8,000 kepada seorang imam sambilan di sebuah surau selepas mengaku bersalah atas pertuduhan merakam adik iparnya yang sedang mandi menggunakan telefon bimbit pada hari keempat Hari Raya Aidilfitri lalu.

Majistret Rais Imran Hamid membuat keputusan itu selepas tertuduh berusia 36 tahun membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan maksud hendak mengaibkan kehormatan dan mengganggu kesantunan seorang wanita berusia 27 tahun apabila merakamnya yang sedang mandi menggunakan telefon bimbit di sebuah rumah di Kok Lanas, Ketereh.

Perbuatan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 6.30 petang pada 24 Mac lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nadzir Abdullah manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Najwa Fahima Mohamad Fadzil.

Terdahulu, Muhammad Nadzir memohon hukuman setimpal dengan pertimbangan bahawa mangsa dalam kes itu merupakan adik iparnya.

Katanya, pihak mahkamah perlu mengambil kira kejadian tersebut berlaku di rumah nenek mereka semasa keluarga besar sedang berkumpul sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Selain itu, tertuduh juga menjadi imam sambilan di sebuah surau di Shah Alam, Selangor.  Jadi, kedudukan agama yang tinggi seharusnya tidak boleh mengaibkan maruah adik ipar sendiri,” ujarnya.

Najwa Fahima dalam rayuannya memohon denda yang minimum dengan alasan tertuduh sudah insaf dan berjanji tidak mengulangi kesalahan pada masa akan datang.

Katanya, tertuduh juga menanggung isteri dan dua anak dengan salah seorang daripadanya yang berusia lima tahun menghidap penyakit jantung berlubang selain ibu yang menghidap diabetes.

“Tertuduh merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dan Politik, Universitas Riau, Indonesia dan baru sahaja memulakan perniagaan eksport barangan ke Afrika Selatan selain bekerja sampingan sebagai imam untuk mencari nafkah menyara keluarga,” katanya

Rais Imran sebelum menjatuhkan hukuman menegur perbuatan tertuduh selepas mengambil kira lelaki itu mempunyai latar belakang bidang undang-undang dan menjadi imam sepatutnya memimpin keluarga termasuk menjaga maruah adik iparnya sendiri.

“Bukan ambil kesempatan dan jatuh air muka keluarga. Jangan jadi seperti haruan makan anak,” ujarnya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM8,000 dan penjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut. Tertuduh membayar denda yang ditetapkan oleh mahkamah.

Mengikut fakta kes, mangsa yang merupakan adik ipar tertuduh menyedari terdapat seunit telefon bimbit yang merakamnya sedang mandi. 

Wanita itu membuat pemeriksaan sebelum mendapati peranti yang telah diletakkan di atas dinding bilik air itu adalah telefon bimbit milik abang iparnya.

Mangsa bertindak mengambil telefon bimbit itu kerana bimbang video tersebut tersebar sebelum membuat laporan polis. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN