BURNLEY: Pengurus sementara Manchester United, Darren Fletcher berharap dua gol Benjamin Sesko ketika seri 2-2 di Burnley menjadi titik permulaan untuk penyerang Slovenia itu selepas permulaan yang sukar di Old Trafford.
Sesko sebelum ini hanya menjaringkan dua gol dalam 17 penampilan sejak perpindahannya bernilai 74 juta pound (RM404 juta) dari RB Leipzig.
“Saya sangat gembira untuknya. Saya bercakap dengannya semalam dan kami menunjukkan video tentang pergerakannya dan gol-golnya, hanya untuk menunjukkan bahawa ia akan datang dan dia perlu terus mempercayai diri sendiri serta rakan sepasukan perlu memberikan lebih banyak bantuan kepadanya.
“Dia melakukannya malam ini (semalam) dan menjaringkan dua gol hebat. Malam yang sangat positif untuk Ben.
“Pasukan kecewa dengan satu mata tetapi dari segi peribadi, harapnya dia boleh terus membina momentum daripada itu,” katanya.
Bagaimanapun, kebangkitan Sesko adalah satu-satunya perkara positif daripada malam yang mengecewakan bagi peluang United untuk kembali ke Liga Juara-Juara musim depan.
Fletcher mengesahkan dia akan terus mengendalikan pasukan untuk perlawanan Piala FA menentang Brighton pada Ahad ini, sementara United dilaporkan mencari pengurus sementara untuk baki musim ini. – AFP










