Dasar baharu penggajian ekspatriat bermula 1 Jun 2026

Dasar baharu penggajian ekspatriat bermula 1 Jun 2026

Kementerian Dalam Negeri (KDN)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dasar baharu penggajian ekspatriat akan berkuat kuasa bermula 1 Jun 2026 bagi memberi ruang persediaan yang mencukupi kepada pihak majikan dan industri.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan, dasar baharu ini memperkenalkan penstrukturan semula gaji bagi Pas Penggajian Ekspatriat Kategori I, II dan III.

Ini kerana Jemaah Menteri pada 17 Oktober lalu telah bersetuju untuk melaksanakan dasar baharu penggajian ekspatriat yang melibatkan penstrukturan semula kadar gaji bagi Pas Penggajian Kategori I, II dan III serta penetapan tempoh penggajian ekspatriat di Malaysia.

Katanya, bagi Kategori I, gaji dinaikkan daripada RM10,000 dan ke atas kepada RM20,000 dan ke atas, manakala Kategori II daripada RM5,000 hingga RM9,999 kepada RM10,000 hingga RM19,999.

“Kategori III daripada RM3,000 hingga RM4,999 kepada RM5,000 hingga RM9,999, kecuali bagi sektor pembuatan dan perkhidmatan berkaitan pembuatan (MRS) yang ditetapkan pada RM7,000 hingga RM9,999.

“Selain penyelarasan gaji, dasar ini menetapkan tempoh penggajian ekspatriat dengan tempoh penggajian Pas Penggajian Kategori I ditetapkan kepada 10 tahun dan Kategori II ditetapkan kepada 10 tahun dengan pelan penggantian.

“Kategori III ditetapkan kepada lima tahun dengan pelan penggantian dan semua ekspatriat yang memegang Pas Penggajian Kategori I, II dan III dibenarkan membawa tanggungan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut KDN, penetapan dasar baharu ini selaras dengan sasaran Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing dan memberi keutamaan kepada bakat tempatan yang layak bagi mengisi kekosongan jawatan sebelum pengambilan ekspatriat.

“Dasar semasa yang berpandukan keputusan Mesyuarat Majlis Ekonomi pada 20 Disember 2016 telah ditambah baik melalui sesi libat urus bersama pihak industri dan pemegang taruh sejak 2022 bagi memastikan pelaksanaan dasar lebih teratur dan telus.

“Selain penyelarasan gaji, dasar ini turut memperkenalkan tempoh penggajian ekspatriat yang sebelum ini tidak mempunyai had yang khusus.

“Penetapan tempoh ini bertujuan meraikan ekspatriat yang mempunyai kepakaran tinggi untuk terus menyumbang kepada negara dan berfungsi sebagai panduan kepada majikan dalam merancang pelan penggantian secara lebih tersusun dengan penglibatan tenaga kerja tempatan,” katanya.

Tambah KDN, bagi memastikan transisi dasar berjalan lancar, KDN akan menganjurkan sesi temu ramah dan libat urus bersama semua pemegang taruh termasuk pihak industri, majikan dan agensi berkaitan bagi menjelaskan mekanisme pelaksanaan dan implikasi dasar baharu ini.

“Seiring dengan prinsip Malaysia Madani, setiap pembaharuan dasar akan dilaksanakan secara berperingkat dan berimbang demi menjamin pertumbuhan ekonomi mampan serta pembangunan modal insan tempatan dalam jangka panjang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN