Carrick mula tugas dengan bergaya, menang 2-0 ke atas City

Carrick mula tugas dengan bergaya, menang 2-0 ke atas City

PEMAIN Manchester United, Patrick Dorgu (dua dari kiri) meraikan jaringan kedua tuan rumah bersama rakan sepasukan ketika menentang Manchester City dalam aksi Liga Perdana Inggeris, di Old Trafford, malam tadi.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANCHESTER: Manchester United menghadiahkan Michael Carrick permulaan manis dalam tugas interimnya apabila menewaskan seteru setempat, Manchester City 2-0 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford, sebentar tadi.

Kemenangan itu bukan sahaja menghidupkan semula kempen United, malah memberi tamparan besar kepada aspirasi kejuaraan City yang kini semakin terhakis dalam persaingan liga.

United menguasai sebahagian besar perlawanan, namun terpaksa menunggu sehingga 25 minit terakhir untuk memecah kebuntuan berikutan aksi cemerlang penjaga gol City, Gianluigi Donnarumma, selain tiga jaringan dibatalkan kerana ofsaid.

Bryan Mbeumo yang kembali selepas tugasan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) membuka tirai jaringan sebelum ledakan Patrick Dorgu memastikan kemenangan kedua United dalam lapan perlawanan terakhir liga.

Keputusan itu melonjakkan United ke kelompok empat teratas liga, sekali gus menceriakan kem Arsenal yang kini semakin hampir menamatkan penantian panjang untuk bergelar juara.

Keberanian Carrick dalam pemilihan kesebelasan utama terbukti berkesan apabila mengetepikan Benjamin Sesko dan Matheus Cunha bagi memberi laluan kepada Mbeumo serta Amad Diallo yang kembali daripada tugasan antarabangsa.

City yang dibelenggu krisis kecederaan di barisan pertahanan terpaksa mempertaruhkan gandingan muda Max Alleyne dan Abdukodir Khusanov, sekali gus gagal mengekang asakan berterusan United.

Gol pertama hadir hasil kesilapan City apabila sepakan percuma lemah Raya Cherki membuka ruang serangan balas pantas sebelum hantaran tepat Bruno Fernandes disudahkan Mbeumo dengan rembatan rendah menewaskan Donnarumma pada minit ke-65.

Cunha yang dimasukkan sebagai pemain gantian mencetus impak segera apabila mencipta gol kedua hasil kecuaian Rico Lewis yang membenarkan Dorgu mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-76.


PENYERANG Manchester City, Erling Haaland (tengah) menunjukkan riak kecewa selepas tewas kepada United.-AFP

Guardiola seolah-olah mengibarkan bendera putih apabila mengeluarkan Erling Haaland 10 minit terakhir perlawanan, manakala Diallo hampir menambah derita City namun rembatannya sekadar singgah di tiang gol pada penghujung perlawanan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN