PETALING JAYA: Ahli akademik di institusi pengajian tinggi memainkan peranan penting dalam membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan dasar integriti dan tadbir urus yang baik berjaya dilaksanakan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya masih memerlukan sumbangan pemikiran dan idea daripada ahli-ahli akademik negara, biarpun tiada jalinan kerjasama persefahaman dengan semua universiti.
“SPRM sebagai agensi pelaksana urusan anti-rasuah dalam negara juga perlu membantu kerajaan dalam mewujudkan tatakelola yang baik termasuk berkaitan integriti. Banyak perkara berkaitan ini perlu kami usahakan.
“Jadi saya sebagai Profesor Adjung di beberapa universiti termasuk jalinan kerjasama seperti dilakukan bersama HELP University, sangat memerlukan bantuan daripada ahli-ahli akademik untuk membantu negara dalam urusan berkenaan,” katanya selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara SPRM dan HELP University serta Pelancaran Siri Forum Tadbir Urus dan Integriti 2026, di sini hari ini.
Azam turut mengesahkan beliau kini menjadi Profesor Adjung di tiga buah universiti iaitu di Institut Penyelidikan Perakaunan (ARI), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan terbaharu pada minggu lalu, turut dilantik sebagai Profesor Adjung Pengurusan Teknologi bagi Program Doktor Falsafah (PhD) di Institut Pengurusan Teknologi dan Keusahawanan (IPTK), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM). Beliau juga menyumbang kepakaran di Asia e University (AeU).
Menyentuh mengenai memorandum persefahaman bersama HELP University, Azam berkata, ia menjadi satu hari yang bersejarah dan signifikan kerana kerjasama antara HELP University dengan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) sudah mencecah lebih 16 tahun.
“Banyak perkara dapat SPRM sumbangkan dan begitu juga HELP sumbangkan kepada MACA. Kali ini kita akan lebih aktif dan agresif lagi dengan HELP University dalam membangunkan banyak subjek, termasuk jenayah ekonomi serta jenayah kewangan dalam menguruskan hal-hal berkaitan integriti, subjek integriti, tatakelola,” jelasnya.
Sementara itu, Canselor HELP University, Datuk Dr. Paul Chan berkata, kerjasama antara universiti itu dan SPRM merangkumi latihan eksekutif, pendidikan pascasiswazah, pensijilan profesional, penyelidikan, penerbitan dan pembabitan dasar, tetapi ia tidak hanya melatih individu, sebaliknya program ini membina sebuah ekosistem nasional dengan kepemimpinan berintegriti.
“Saya masih ingat menandatangani MoU yang pertama dengan SPRM beberapa tahun lalu. Oleh itu, saya amat gembira bahawa hari ini kita memperbaharui kerjasama berasaskan kepercayaan ini demi perkhidmatan kepada negara kita.
“Malah, bila bertemu Azam di SPRM dua tahun lalu, saya terdorong dengan sokongan beliau untuk memperdalam dan memperbaharui perkongsian ini.
“Melalui pengurusan Azam di SPRM, beliau sangat menekankan bukan sahaja penguatkuasaan, tetapi juga pengukuhan institusi, profesionalisme, dan kepercayaan awam. Kita mengiktiraf bahawa perjuangan jangka panjang menentang rasuah juga bergantung kepada pendidikan, kepimpinan beretika, dan pembangunan kapasiti,” katanya. – UTUSAN










