Yayasan Hasanah salur bantuan banjir RM1.09 juta

Yayasan Hasanah salur bantuan banjir RM1.09 juta

YAYASAN Hasanah menyalurkan RM1,096,874 dalam bentuk bantuan kecemasan dan pemulihan kepada komuniti yang terjejas akibat Monsun Timur Laut.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Yayasan Hasanah menyalurkan RM1,096,874 dalam bentuk bantuan kecemasan dan pemulihan kepada komuniti yang terjejas akibat Monsun Timur Laut.

Pemegang Amanah dan Pengarah Urusan Hasanah, Siti Kamariah Ahmad Subki, berkata bantuan dapat digerakkan dengan cepat kerana yayasan telah lama bekerjasama secara proaktif dengan rakan lapangan dan agensi utama, termasuk NADMA.

Katanya dana daripada Khazanah disediakan seawal awal 2025, membolehkan persiapan awal dilakukan sebelum musim monsun tiba. 

“Perancangan awal ini membolehkan penghantaran bantuan lebih awal dan memastikan barangan penting seperti makanan Sedia Dimakan (RTE), bantuan perubatan dan kit keselesaan sampai kepada keluarga yang paling memerlukan dalam 48 jam pertama,” katanya.

Yayasan berasaskan impak ini bernaung di bawah Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan dibiayai dengan sokongan Kementerian Kewangan melalui dana GLC Demi Rakyat & Negara (GDRN) Bantu. 

Sepanjang tahun ini, ia menyalurkan bantuan dengan pantas melalui rakan kemanusiaan dan agensi bantuan bencana bagi menghadapi banjir yang melanda beberapa negeri.

Khazanah turut meningkatkan komitmen mereka terhadap bantuan kemanusiaan melalui Hasanah dengan peruntukan tambahan sebanyak RM5 juta. 

Setakat ini, usaha bersama ini telah menyokong 18 inisiatif bantuan banjir, memberi manfaat kepada lebih 10,700 individu dan keluarga di Kelantan, Kedah, Perlis, Perak, Pahang, Terengganu dan Selangor.

Siti Kamaria berkata, di luar fasa kecemasan, fokus bantuan tetap pada pemulihan pasca banjir, memastikan keluarga dapat pulang ke rumah dengan selamat, komuniti bersih dan bermaruah. 

Katanya bantuan merangkumi makanan RTE, kit kebersihan, kit keselesaan, bahan api bot, bantuan perubatan dan kit kecemasan, manakala intervensi pula meliputi keperluan kritikal 48 jam pertama dan fasa pemulihan berterusan. 

Bantuan dilaksanakan melalui rakan kerjasama berpengalaman seperti HALUAN, BBNGO, IMARET, HARAP Kuantan, Yayasan Food Bank Malaysia, NADIM dan Malaysian Relief Agency (MRA). Mereka turut membantu komuniti Orang Asli dan kawasan luar bandar yang terjejas.

Monsun Timur Laut yang bermula 13 November 2025 membawa hujan lebat berterusan di seluruh negara. 

Melihat risiko yang berterusan, pasukan Kemanusiaan & Bantuan Bencana (HDR) Hasanah terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dan NGO rakan terpilih bagi memperkukuhkan kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan gelombang banjir seterusnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN