PARLIMEN: Tiada bantuan banjir disekat, sumbangan perlu diselaras

PARLIMEN: Tiada bantuan banjir disekat, sumbangan perlu diselaras

NANCY SHUKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiada mana-mana pihak disekat untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa yang terjejas banjir ketika ini.

Bagaimanapun, semua bentuk sumbangan yang diterima perlu diselaraskan terlebih dahulu di peringkat sekretariat sebelum diedarkan ke kawasan terjejas bagi memastikan keperluan mangsa dipenuhi secara tepat dan teratur.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, dakwaan kononnya hasrat pihak tertentu untuk menghulurkan bantuan telah disekat atau dihalang oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) adalah tidak benar.

Menurutnya, tanggapan sedemikian berkemungkinan timbul akibat salah faham mengenai prosedur penyelarasan.

“Prosedur itu dilaksanakan bagi memastikan semua sumbangan bersesuaian dengan keperluan di lapangan serta mencukupi daripada segi jumlah dan kualiti.

“Misalnya bantuan untuk lebih 300 mangsa, tetapi dalam PPS hanya ada 200 mangsa. Oleh sebab itu prosedur operasi standard (SOP) perlu dipatuhi bagi mengelakkan lambakan atau pembaziran.

“Perkara itu juga boleh merugikan tenaga kerja setelah berlaku kerosakan atau pertindihan barang bantuan,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Aminolhuda Hassan (PH–Sri Gading) yang bertanya mengenai dakwaan terdapat pihak yang mengawal PPS sehingga menyukarkan penyampaian bantuan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kepada mangsa banjir.

Menurut Nancy, penyelarasan itu juga penting bagi menjaga keharmonian dalam kalangan mangsa bencana yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

Katanya, mana-mana pihak yang ingin menyumbang diminta mengikut prosedur ditetapkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dengan menghubungi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) negeri atau daerah berkaitan.

“Langkah itu membolehkan semua pihak memperoleh maklumat mengenai keperluan sebenar mangsa serta lokasi sebelum pergerakan penyampaian bantuan digerakkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN