PETALING JAYA: Kerajaan menyalurkan bantuan keseluruhan berjumlah RM21 juta bagi membantu penduduk di Sabah yang kini berdepan bencana banjir.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM11 juta telah diagihkan melalui kerajaan negeri manakala RM10 juta lagi diluluskan segera melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).
Beliau berkata, dana berkenaan akan digunakan untuk pembaikan segera kemudahan asas dan diagihkan terus kepada mangsa yang terkesan.
Tambah beliau, seluruh jentera kerajaan sudah digerakkan dengan segera untuk membantu rakyat yang terjejas agar bantuan dapat sampai tanpa sebarang gangguan.
“Keutamaan kita adalah memastikan keselamatan, kebajikan dan kelangsungan hidup mangsa banjir dibela sebaiknya dengan tumpuan segera.
“Kerajaan akan memastikan setiap keluarga yang terkesan segera menerima bantuan,” katanya menerusi akaun Facebook miliknya hari ini.
Pada masa yang sama, Anwar menyeru agar semua pihak bersatu dan berpadu tenaga serta mengutamakan semangat ihsan demi membantu rakyat seluruhnya.
“Zahirkan semangat kebersamaan dan kepedulian serta tanggungjawab bersama dalam menempuh ujian dahsyat ini,” katanya. – UTUSAN










