PETALING JAYA: Ringgit melonjak ke paras tertinggi baharu dalam tempoh lebih empat tahun apabila mencapai 4.1060/1110 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada penutup dagangan minggu ini.
Pada pukul 8 pagi, ringgit mengukuh kepada 4.1065/1155 berbanding 4.1115/1165 kelmarin, menandakan permulaan dagangan yang lebih stabil.
Prestasi ringgit semalam juga mencatat sejarah apabila mencecah paras tertinggi dalam tempoh empat tahun lima bulan, mengatasi rekod 4.1080/1110 sedolar AS pada 11 Jun 2021.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, pengukuhan ringgit disokong oleh sentimen pasaran global yang semakin yakin bahawa Rizab Persekutuan (Fed) AS akan melaksanakan pemotongan kadar faedah minggu depan.
Ujarnya, Indeks Dolar AS (DXY) terus menunjukkan penyusutan ketara minggu ini apabila ia merosot 0.64 peratus kepada paras 98 mata, mencerminkan jangkaan pelabur bahawa kadar faedah akan diturunkan sebanyak 0.25 peratus.
“Para pengurus dana meletakkan 87 peratus kebarangkalian langkah itu menjadi pemotongan terakhir bagi 2025.
“Saya menjangkakan sekiranya Fed benar-benar menurunkan kadar faedah, ringgit berpotensi meneruskan pengukuhan pada minggu hadapan.
“Pemotongan kadar faedah AS akan sekali lagi mengecilkan jurang antara Kadar Dasar Semalaman (OPR) Malaysia yang kini berada pada 2.75 peratus dengan kadar faedah AS yang dijangka turun kepada 3.75 peratus,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah beliau, jurang kadar yang lebih kecil lazimnya meningkatkan daya tarikan pelaburan dalam pasaran bon Malaysia, sekali gus menyokong permintaan terhadap ringgit.
“Langkah Fed itu berkemungkinan menyebabkan dolar AS terus melemah berbanding mata wang utama lain, termasuk ringgit, memandangkan aliran modal dijangka kembali ke pasaran sedang pesat membangun yang menawarkan pulangan lebih stabil,” katanya.
Sementara itu, Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, ringgit berkemungkinan terus berada pada paras sekitar RM4.15 berbanding dolar AS pada minggu hadapan susulan beberapa faktor teknikal dan tingkah laku pasaran menjelang hujung tahun.
Beliau berkata, kemerosotan ringgit ketika ini sebahagiannya berpunca daripada kekurangan belian baharu dalam denominasi ringgit, selain pembetulan teknikal selepas pergerakan agresif mata wang sebelum ini.
“Situasi hujung tahun turut memainkan peranan penting.
“Banyak urus niaga antarabangsa biasanya diselesaikan pada awal tahun. Dari segi akaun, jika syarikat sudah mencapai sasaran jualan untuk tahun semasa, mereka cenderung menangguhkan urus niaga baharu, dan ini melemahkan permintaan terhadap ringgit,” katanya.
Menurut Mohd. Rizal, fenomena tersebut dikenali sebagai ‘earning management’, di mana syarikat mengatur masa pengiktirafan pendapatan bagi tujuan pelaporan kewangan.
“Apabila urus niaga ditangguhkan, permintaan terhadap ringgit menurun, dan ini berpotensi menekan lagi mata wang itu pada minggu hadapan,” jelasnya. – UTUSAN










