ARAU: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menyeru semua pihak agar dapat menghentikan spekulasi berhubung pelantikan Menteri Besar baharu di negeri ini.
Titah baginda, usaha dan fokus selepas ini perlu ditumpukan kepada kebaikan negeri agar dapat terus mara ke hadapan.
Titah baginda, peletakan jawatan bekas Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli atas faktor kesihatan juga merupakan pertama kali berlaku di Perlis sehingga memerlukan kepada pelantikan baharu.
“Itulah pokoknya, tetapi malangnya pelbagai spekulasi telah timbul, termasuk tohmahan, tuduhan serta perkara-perkara yang tidak diingini.
“Saya berharap selepas ini semua perkara tersebut dapat dihentikan demi kebaikan negeri,” titahnya pada Majlis Istiadat Angkat Sumpah Menteri Besar di Istana Arau, hari ini.
Menerusi majlis istiadat itu, Abu Bakar telah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis Kesembilan di hadapan Tuanku Syed Sirajuddin bagi menggantikan Mohd. Shukri.
Rabu lalu, Mohd. Shukri telah mendapat perkenan bertemu Raja Perlis bagi menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Menteri Besar disebabkan faktor kesihatan.
Krisis didakwa melanda kerajaan negeri apabila lapan ADUN Perikatan Nasional (PN) Perlis dikatakan telah bertemu Raja Perlis dengan majoriti menyatakan telah hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap Mohd. Shukri.
Tuanku Syed Sirajuddin bertitah, baginda juga tidak melihat Perikatan Nasional (PN) sebagai satu parti gabungan parti yang berbeza antara Pas atau Bersatu.
“Ada kalanya isu-isu tertentu dibangkitkan kerana terdapat pihak yang tidak berpuas hati. Namun, semua itu perlu diketepikan dan disatukan di bawah satu PN, satu bendera.
“Terimalah keputusan buat masa ini. Keputusan ini dibuat setelah saya berfikir secara mendalam demi kemajuan negeri,” titahnya.
Dalam masa sama, baginda turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Mohd. Shukri kerana telah menjalankan tugas sebagai Menteri Besar selama tiga tahun. – UTUSAN










