KOTA KINABALU: Beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyatakan tidak berpuas hati dengan keputusan Barisan Nasional (BN) menyertai Kabinet Sabah.
Malah sekeping tular menunjukkan seorang ADUN GRS mengadakan pertemuan bersama ADUN Bebas mencetuskan persoalan mengenai masa depan kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dalam tempoh 48 jam selepas beliau mengangkat sumpah.
Malah ia ditambah dengan kenyataan terbuka Pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menolak agar BN menyertai Kerajaan GRS Plus.
Antara yang menyuarakan isi hati mereka ialah ADUN GRS Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai yang menyatakan bahawa rakyat akan menilai pemimpin berdasarkan prinsip dan pendirian tegas.
“Kita akan dinilai berdasarkan prinsip dan pendirian tegas kita yang berpaksikan kepada kepentingan rakyat dan kestabilan negeri,” katanya melalui akaun Facebook rasminya hari ini.
Seorang lagi ADUN Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya turut meluahkan perasaannya dengan menegaskan bahawa demi maruah, beliau tetap dengan pendiriannya untuk menolak BN.
“Demi maruah saya, keluarga dan penyokong saya, ‘No BN’,” tulisnya dalam satu kenyataan ringkas di media sosial.
Terdahulu, seorang ADUN BN merupakan antara 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dilantik menganggotai Kabinet Sabah selepas pembentukan kerajaan pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
ADUN Sukau daripada BN, Datuk Jafry Ariffin itu dilantik sebagai Menteri baharu Kabinet Sabah.
GRS kini membentuk kerajaan campuran bersama lima ADUN Bebas, Pakatan Harapan (PH), UPKO, BN dan KDM.-UTUSAN











