PETALING JAYA: Malaysia memerlukan sebuah Ombudsman yang benar-benar bebas, berkuasa untuk berfungsi dengan betul dan bukannya sekadar penjenamaan semula kepada Biro Pengaduan Awam (PCB).
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, beliau konsisten menyuarakan mengenai keperluan penubuhan Ombudsman Malaysia sejak tahun 2017 namun tiada sambutan ketika itu.
Katanya, beliau menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai hasrat kerajaan untuk menubuhkan badan bebas itu namun perlu menetapi lima ciri-ciri penting.
“Pelantikan ahli perlu dilantik oleh dan bertanggungjawab kepada Parlimen bukannya eksekutif; mempunyai kuasa siasatan penuh ke atas semua agensi kerajaan dan ada kuasa untuk bertindak bukan sekadar memberi nasihat.
“Selain itu, ia juga mesti berperanan sebagai pelindung kepada pemberi maklumat dan semua laporan dibentangkan kepada umum secara telus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Sweden merupakan model ombudsman tertua di dunia dan di negara itu badan tersebut boleh menyiasat sesiapa sahaja termasuk menteri dan penjawat awam tertinggi, malah mencadangkan pendakwaan.
Katanya, di New Zealand, Ombudsman berkuasa memaksa agensi membuka dokumen kerajaan sementara di United Kingdom, ia berkuasa untuk mengarahkan pembetulan kes dan pampasan kepada rakyat.
Tambahnya, di Australia pula, banyak skandal pentadbiran dibongkar hasil siasatan Ombudsman yang bebas.
“Semua negara ini berkongsi satu prinsip penting, iaitu Ombudsman mereka bertanggungjawab kepada Parlimen, bukan kepada Perdana Menteri.
“Jika Ombudsman Malaysia diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri, masih bergantung kepada kebenaran menteri, tidak mempunyai kuasa untuk bertindak, atau cadangannya boleh diabaikan tanpa akibat, maka ia tidak layak dipanggil Ombudsman. Sebaliknya ia hanya menjadi jenama baru Biro Pengaduan Awam sahaja.
“Rakyat tidak perlukan satu lagi pusat aduan yang tidak berkuasa. Rakyat perlukan sebuah institusi yang boleh dipercayai dan diyakini untuk menyelesaikan masalah dan aduan,” katanya.
Pada masa sama, beliau juga menggesa kerajaan supaya membuat satu Kenyataan Menteri untuk menerangkan cadangan itu lebih lanjut di Parlimen apabila sesi baru Dewan Rakyat bermula Januari nanti, dan perlu membenarkan perbahasan.
“RUU Ombudsman perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen sebelum dibaca di Dewan Rakyat. Memberi jaminan bahawa Ombudsman yang bakal ditubuhkan akan bebas sepenuhnya daripada kawalan eksekutif,” katanya. – UTUSAN










