Ombudsman tiada pertindihan kuasa dengan SPRM

Ombudsman tiada pertindihan kuasa dengan SPRM

AZAM Baki ketika hadir bagi program SPRM - UiTM Inspira 2025: Hari Integriti & Kepemimpinan di UiTM Cawangan Puncak Alam, di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUNCAK ALAM: Penubuhan Ombudsman Malaysia dilihat dapat memperkukuh tadbir urus dan meningkatkan ketelusan dalam pengurusan jabatan kerajaan tanpa ada pertindihan kuasa dan fungsi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, bidang tugas utama agensi itu melibatkan kerja penyiasatan dan operasi selain melaksanakan program pendidikan serta advokasi kepada masyarakat berkaitan integriti dan tatakelola.

Beliau berkata, penubuhan agensi baharu itu dipengerusikan Perdana Menteri pada mesyuarat Jawatankuasa Kerja-Kerajaan Tertinggi Negara (JKKTN) baru-baru ini melibatkan setiap jabatan termasuk SPRM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lain-lain agensi dan jabatan.

“SPRM merupakan antara agensi yang berada dalam Ombudsman Malaysia selain jabatan dan agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mana perincian mengenai bidang tugas akan dimaklumkan kemudian.

“Ombudsman Malaysia ini akan memfokuskan kepada isu-isu tadbir urus dan tata kelola,  kerajaan juga sebelum ini menyatakan tidak akan ada pertindihan kuasa dan saya juga memberi jaminan hal sama tidak akan berlaku,” katanya ketika ditemui dalam program SPRM – UiTM Inspira 2025: Hari Integriti & Kepimpinan di UiTM Cawangan Puncak Alam  di sini hari ini.

Azam memberitahu, SPRM akan memberi kerjasama penuh dalam penyediaan Rang Undang-Undang Ombudsman Malaysia yang dijangka dibentangkan di Parlimen pertengahan tahun hadapan.

Media sebelum ini melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata. kerajaan akan menubuhkan Ombudsman Malaysia sebagai agensi pusat untuk mengurus dan menyelesaikan aduan awam.

Jelas beliau, penubuhan Ombudsman Malaysia ini diberikan mandat merangkumi isu salah tadbir, salah laku, perlindungan pemberi maklumat dan kebebasan maklumat.

Persetujuan penting itu dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) yang dipengerusikannya.

Ia juga sekaligus menzahirkan komitmen Kerajaan MADANI untuk memperkukuh hak rakyat serta memelihara integriti sektor awam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×