KUALA LUMPUR: Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN mengenai situasi terkini antara Kemboja dan Thailand, yang dianjurkan oleh Malaysia selaku Pengerusi ASEAN bermula pada pukul 12.14 tengah hari, di sebuah hotel di sini.
Memetik laporan Bernama, mesyuarat khas yang dipengerusikan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan itu dihadiri 23 menteri luar dan pegawai dari negara-negara anggota serta Sekretariat ASEAN, termasuk Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Kao Kim Hourn.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Kemboja, Prak Sokhonn serta Menteri Luar Thailand, Sihasak Phuangketkeow menghadiri mesyuarat berkenaan susulan persetujuan yang dicapai oleh Perdana Menteri Malaysia, Kemboja dan Thailand pada 11 Disember lalu.
Menteri-menteri luar lain yang turut menghadiri mesyuarat itu ialah Sugiono dari Indonesia, Thongsavanh Phomvihane (Laos), Dr Vivian Balakrishnan (Singapura), Bendito dos Santos Freitas (Timor-Leste) serta Menteri Kedua Hal Ehwal Luar Negeri Brunei, Datuk Seri Setia Erywan Pehin Datu Pekerma Jaya Mohd Yusof, serta Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Theresa P. Lazaro.
Vietnam diwakili Timbalan Menteri Luar, Dang Hoang Giang manakala pegawai Myanmar menyertai mesyuarat itu secara maya.
Antara pegawai yang hadir ialah Timbalan Setiausaha Agung Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN, Datuk Astana Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin.
Mesyuarat itu menyediakan platform bagi menteri-menteri luar ASEAN bertukar pandangan mengenai situasi semasa antara Kemboja dan Thailand serta mempertimbangkan langkah-langkah yang boleh diambil ASEAN bagi menyokong usaha berterusan ke arah pengurangan ketegangan dan pemberhentian permusuhan antara kedua-dua negara anggota.
Penganjuran mesyuarat khas itu mencerminkan komitmen negara-negara anggota ASEAN terhadap perpaduan dan solidariti, serta kepusatan ASEAN dalam mengekalkan keamanan, keselamatan, kestabilan dan kemakmuran di rantau ini, selaras dengan Piagam ASEAN dan Triti Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC). – UTUSAN










