PETALING JAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul di Bangkok hari ini.
Pertemuan sempena Mesyuarat ke-14 Menteri-Menteri ASEAN mengenai Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan itu antara lain turut membincangkan perkembangan keselamatan serantau serta isu-isu yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat Malaysia.
Ahmad Zahid berkata, Malaysia amat prihatin terhadap situasi yang sedang berlaku di sempadan Kemboja dan Thailand dan berharap segala usaha penyelesaian dapat dilakukan demi keselamatan orang awam serta kestabilan wilayah.
Selaras pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau berkata, semua pihak mesti mengutamakan keselamatan rakyat serta kembali kepada saluran diplomasi dan pematuhan undang-undang antarabangsa.
“Malaysia juga berharap kedua-dua negara akan terus komited memastikan gencatan senjata dipatuhi dan melaksanakan sepenuhnya Perjanjian Damai Kuala Lumpur demi menjamin keselamatan komuniti di kedua-dua belah sempadan,” katanya dalam kenyataan
Dalam pada itu, beliau turut menekankan komitmen bersama untuk memperkukuh kerjasama Malaysia dan Thailand dalam kesiapsiagaan dan tindak balas bencana rentas sempadan.
“Selaras dengan persetujuan pertengahan tahun ini, kedua-dua negara akan meningkatkan perkongsian data meteorologi, sistem amaran awal, koordinasi antara agensi serta latihan bersama dalam menghadapi risiko banjir, ribut dan bencana lain yang semakin mencabar akibat perubahan iklim,” katanya.
Menerusi pertemuan itu juga, katanya, Malaysia dan Thailand membincangkan potensi perluasan kerjasama dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), khususnya latihan kemahiran dalam sektor pembuatan, pertanian, teknologi digital serta program mobiliti pelajar dan pensyarah.
Katanya, kerjasama TVET itu mampu meningkatkan peluang pekerjaan, memantapkan pembangunan modal insan dan menyokong pertumbuhan ekonomi di kedua-dua negara.
Selain itu, kedua-dua negara turut bersetuju untuk memperkukuh kerjasama industri halal termasuk pembangunan rantaian nilai halal pelaburan dalam produk halal dan peluang eksport bersama.
“Malaysia menyambut baik minat Thailand untuk meneroka potensi halal secara lebih menyeluruh, memandangkan permintaan global yang semakin meningkat.
“Malaysia kekal komited untuk mengambil langkah tegas, menyeluruh dan bersepadu dalam menangani isu-isu yang terkait demi memastikan keselamatan, kestabilan dan kesejahteraan serantau terus terpelihara.
“Malaysia menghargai hubungan erat dengan Thailand dan akan terus memperkukuh kerjasama demi sempadan yang lebih terjamin serta masa depan ASEAN yang lebih stabil dan berdaya tahan,” katanya. – UTUSAN










