KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Amerika Syarikat (AS) bersedia membantu ASEAN dalam menghadapi pelbagai cabaran keselamatan di rantau ini khususnya di Laut China Selatan.
Beliau berkata, tawaran itu dikemukakan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Pete Hegseth semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN-Plus (ADMM+) yang berlangsung di sini, hari ini.
Mohamed Khaled berkata, AS menawarkan sokongan dalam memastikan anggota ASEAN mampu berhadapan dengan pelbagai cabaran terutamanya di Laut China Selatan.
“Apa sahaja bentuk kerjasama mesti berasaskan kepada usaha kolektif di bawah kerangka ADMM dan ADMM+
“Kita tidak menafikan cabaran yang kita hadapi di Laut China Selatan dan kita menghargai komitmen Amerika Syarikat untuk membantu, namun ia mesti dilakukan dalam semangat kerjasama serantau,” katanya dalam sidang akhbar selepas ADMM+ hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled memberitahu AS akan terus memainkan peranan aktif sebagai sebuah negara Pasifik dan menyokong ASEAN untuk mengekalkan kestabilan di rantau ini. – UTUSAN










