KUALA LUMPUR: Selepas cuplikan filem Duyung: Lagenda Aurora dimuat naik semalam, segelintir penonton meluahkan rasa kurang puas hati terhadap visual dan kostum duyung yang didakwa kelihatan murah berbanding filem terdahulu yang diterbitkan pada 2008.
Mengulas perkara itu, pelakon utamanya, Maya Karin menjelaskan, pembikinan kostum bagi filem terbaharu tersebut melalui proses perbincangan yang teliti dengan pihak produksi, selain mengambil kira faktor keselesaan pelakon dan kelancaran penggambaran.
Menurut Maya, kostum yang digunakan dalam filem pertama dahulu lebih berat, berwarna natural serta sukar dipakai, sekali gus menyukarkan pergerakan di set penggambaran.
“Untuk filem yang pertama, kostum saya sangat berat dan sukar dipakai. Kali ini pula, penerbit dan pihak produksi cuba memudahkan semua pihak, bukan sahaja pelakon, malah kru yang terlibat di lokasi penggambaran.
“Kami memilih warna kostum yang lebih ceria bagi menyerlahkan keindahan lautan dan menjadikannya lebih seimbang dengan elemen lain seperti ikan serta batu karang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia pada sidang media Anugerah Bintang Popular (ABP), semalam.
Dalam pada itu, Maya turut menegaskan Duyung: Lagenda Aurora bakal menampilkan kelainan berbanding filem terdahulu, termasuk perkembangan konflik dan keupayaan luar biasa watak duyung yang dipaparkan.
“Keistimewaan filem ini adalah duyung mempunyai kuasa tersendiri, iaitu mampu berjalan di bumi nyata selain berenang di laut. Itulah antara kelainan yang ingin diketengahkan.
“Saya berharap naskhah ini dapat memberikan kepuasan kepada penonton apabila ditayangkan nanti,” ujarnya.
Terdahulu, beberapa netizen membandingkan kualiti kostum duyung yang dipakai Maya Karin dan Anna Jobling dengan filem terdahulu, selain menyifatkannya kelihatan kurang meyakinkan.
Duyung: Lagenda Aurora dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 25 Disember 2025. Filem ini turut dibintangi Saiful Apek, Ayie Floor 88, Yasmin Hani, Yassin Senario, Datuk Yusry Abdul Halim, Nadia Brian, Kumpulan Zero, Aniq Aqil dan Aidilia Hilda. – UTUSAN










