NIBONG TEBAL: Pendaftaran kemasukan kanak-kanak berusia enam tahun ke sekolah rendah dijadual bermula 15 Februari ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pendaftaran itu dibuat secara dalam talian dan ketika ini, persiapan Kementerian Pendidikan untuk merealisasikan cadangan tersebut adalah pada tahap yang maksimum.
Katanya, sambutan yang diterima terhadap cadangan kemasukan kanak-kanak berusia enam tahun ke Tahun Satu mulai tahun depan dijangka memberangsangkan terutamanya di kawasan bandar.
“Jangkaan itu dibuat berdasarkan makluman awal yang diterima daripada responden iaitu ibu bapa yang dilihat menyambut baik cadangan tersebut.
“Sekarang ini, kita akan tumpukan kepada usaha mapping (pemetaan) kawasan-kawasan sekolah untuk kita segera buat tambah baik, khususnya untuk fasiliti, kapasiti serta mengoptimumkan kawasan-kawasan yang kita jangka akan menerima limpahan pelajar ini pada tahun hadapan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri program perasmian dan Semarak Sejahtera Warga Emas Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Nibong Tebal di sini hari ini.
Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, pihaknya turut memberi tumpuan terhadap latihan guru bagi tujuan yang sama susulan pengambilan seramai 20,000 orang guru baharu bagi memenuhi keperluan semasa ketika ini.
Katanya, ini termasuk penyediaan bilik darjah dengan mengoptimumkan kapasiti sedia ada serta menambah kelas baharu yang menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS).
“Kedua-dua persiapan penting ini kita sedang mempersiapkannya dengan sangat tekun, dan teliti,” ujar beliau. – UTUSAN









